
"SAYA memohon semua kenalan, sahabat dan ahli keluarga agar sama-sama menitipkan doa buat anak saya, Aisyah Sofia Rohaizan yang sedang bertarung nyawa."
Itulah rayuan ibu kepada seorang murid yang berkongsi nasib dialami anaknya yang mengalami keretakan di tempurung kepala selain pendarahan dalaman sehingga tidak sedarkan diri.
Hantaran itu dibuat Zalinda Lin pada Selasa di laman Facebook sambil menyertakan sekeping gambar cahaya matanya yang tidak dipastikan keadaannya ketika ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 16 murid parah, van sekolah terbalik langgar ‘manhole’ pepagi buta di JB
Difahamkan, murid itu bersekolah di Felda Tenggaroh 5, Mersing di Johor seperti mana dikongsi keluarga mangsa dengan kejadian berlaku selepas dia ditolak rakannya.
"Saya tak tahu dan tidak boleh fikir sekuat mana kawannya tolak sehingga menyebabkan kecederaan tersebut. Sesungguhnya, saya redha dan cuba berlapang dada atas apa yang terjadi.
"Semoga ALLAH mengurniakan kesembuhan yang sempurna, memudahkan segala urusan rawatan, melindunginya dari sebarang komplikasi, serta mengembalikan senyuman dan keceriaannya seperti sedia kala. Semoga ada di antara kalian Yang ALLAH angkat doanya," tulisnya.
Hantaran menyentuh hati tersebut kemudian dikongsikan hampir 6,000 kali di laman media sosial dengan orang ramai mengharapkan murid berkenaan kembali ke keadaan sedia kala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram