
ISU gaji rendah guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sekali lagi menjadi tumpuan apabila bekas Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.
Pada sesi perbahasan yang berlangsung Isnin, Ahli Parlimen Setiawangsa mendakwa golongan itu hanya dibayar RM600 hingga RM700 sebulan dengan alasan status sukarelawan, sekali gus tidak tertakluk kepada gaji minimum.
Bekas Menteri Alam Sekitar itu berkata, alasan itu tidak wajar dan bercanggah dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025 kerana semua pekerjaan yang memenuhi definisi pekerja tetap atau separuh masa perlu dibayar mengikut kadar gaji minimum selain layak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
BACA LAGI: [VIDEO] 'Hebat-hebat belaka', kepetahan johan pidato PASTI Terengganu petanda aset masa depan negara
BACA LAGI: 'Naik yuran baru win-win,' ada cadangan mahu kebajikan guru PASTI dijaga
"Kita terima banyak aduan termasuk daripada guru-guru sendiri soal penggajian guru yang diberikan RM600 ataupun RM700 atas alasan mereka sukarela dan bukannya pekerja, sedangkan ini jelas satu pelanggaran Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
"Kalau hendak pakai alasan sukarela, semua syarikat akan sebut pekerja mereka adalah sukarela dan tidak tertakluk di bawah gaji minimum.
"Tidak ada caruman KWSP, Perkeso dan lain-lain lagi maka, kenyataan yang dibuat Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Majlis Perundingan Gaji Negara telah pun menubuhkan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah adalah satu langkah yang positif dan saya harap akan ambil tindakan terhadap kemelut yang telah disebut sebentar tadi," katanya Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagaimanapun Ahli Parlimen Bachok dari Perikatan Nasional (PN) Mohd Syahir Che Sulaiman mempertahankan isu gaji guru PASTI dengan menyatakan terdapat imbuhan lain diberikan, antaranya untuk tugas mengajar Iqra, walaupun gaji mereka rendah.
“Cuma saya nak perbetulkan sikitlah gaji guru PASTI yang dikatakan rendah atas sebab sukarela.
“Mereka bekerja empat jam, amat singkat dan sebenarnya banyak PASTI tampung dengan imbuhan lain seperti Iqra dan seumpamanya.
“Cuma adakah Yang Berhormat Setiawangsa setuju bahawa apabila PASTI ini tidak menggunakan dana cukai rakyat berbanding Kemas, prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dan juga Tabika Perpaduan, ia membantu mengurangkan beban fiskal di pihak kerajaan tanpa menggunakan duit cukai rakyat,” kata Syahir lagi.
Isu tersebut turut mendapat reaksi daripada Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Lenggong, Muhammad Rif'aat Razman yang menggesa kerajaan berlaku lebih adil untuk menaikkan gaji guru KAFA, guru Takmir, guru tadika KEMAS, bilal dan imam yang tertakluk di bawah pengurusan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri daripada menyibuk hal guru PASTI.
Jelasnya, sepatutnya kerajaan perlu membiarkan PAS untuk menguruskan hal guru PASTI kerana yang menggerakkan pusat asuhan itu terdiri daripada ahli parti itu sendiri.
"Apabila PAS buat sesuatu program dan aktiviti, sama ada usrah, tamrin, ceramah, mesyuarat agung, muktamar, liqa, termasuklah program pendidikan seperti PASTI, biasanya ahli-ahli PAS tak demand (tuntut)bayaran, tak berkira.
"Mereka yang melaksanakan program dan aktiviti parti itu merupakan petugas-petugas parti dan anggap kerja-kerja sebagai khidmat kepada jemaah. Jadi tak hairanlah mereka tidak kisah sangat soal bayaran.
"Bukan sahaja guru-guru PASTI, naqib-naqib usrah pun tak tetapkan bayaran tertentu apabila mereka hadir sebagai naqib di usrah sama ada peringkat cawangan, kawasan, negeri atau pusat.
"Sekiranya disediakan saguhati untuk mereka, biasanya mereka akan pulangkan semula kepada pemberi, ataupun kepada PAS di peringkat yang lain," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Muhammad Rif'aat, petugas-petugas tersebut yang lebih sinonim disebut amilin, mempunyai pendapatan daripada sumber lain selain menjadi guru PASTI.
Tambahnya, golongan itu tak anggap kerja-kerja PAS sebagai sumber rezeki mereka, bahkan mereka menyumbangkan pula sebahagian daripada pendapatan mereka untuk gerak kerja PAS.
"Yang lebih menghairankan, kenapa orang lain pula yang beriya sibuk dan runsing dengan urusan PAS? Bukankah mereka benci sangat dengan PAS ni?
"Tiba-tiba tunjuk ambil berat terhadap PASTI yang bawah pengurusan PAS, sedangkan gaji-gaji guru KAFA, takmir, KEMAS, imam bilal masih lagi rendah.
"Daripada mereka runsing tentang elaun guru PASTI yang kebanyakan mereka ialah Muslimat PAS yang menjayakan aktiviti dan program PAS, lebih baik mereka runsingkan tentang kebajikan pekerja-pekerja agensi-agensi bawah kerajaan," katanya.
Pada Isnin,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, bayaran kepada Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan imam bukan merupakan gaji tetap, sebaliknya merupakan bantuan berbentuk elaun.
Kata beliau, seramai 34,284 guru KAFA sedang berkhidmat di seluruh negara ketika ini dengan elaun RM1,100 sebulan.
"Guru takmir pula seramai 47,052 orang dengan bayaran dibuat mengikut jumlah kelas pengajaran iaitu RM100 bagi setiap kelas, manakala elaun bulanan imam RM850 sebulan," katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, ada juga yang berpendapat agar elaun guru PASTI dinaikkkan seperti disuarakan Muhammad Hanafi Sulaiman dalam coretannya di Facebook.
Namun dia menegaskan tindakan mencari salah semata-mata mahu menutup PASTI adalah tidak wajar memandangkan pusat asuhan itu mempunyai kelebihan tersendiri.
"PASTI ni walaupun di bawah PAS, tapi anak orang bukan Islam pun nak mendaftar tak pernah lagi dihalang, apatah lagi beza parti politik.
"Dan guru PASTI layan sama rata, tiada berat sebelah. Mereka didik sebaiknya," katanya.
Tahun lalu,Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM)memberi perhatian kepada rangkaian tadika dan sekolah PAS berhubung pertikaian gaji yang didakwa melibatkan guru-gurunya.
Menurut memo dari Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), semua cawangan pejabat itu telah ditugaskan untuk memeriksa Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), serta Sekolah Rendah Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti).
Memo JTKSM menyatakan arahan pemeriksaan dibuat berdasarkan mesyuarat kabinet pada 8 Mac apabila guru dan kakitangan PASTI,Sriti, dan Smiti didakwa dibayar gaji di bawah garis minimum.—Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram