
GURU yang didapati merokok atau menggunakan rokok elektronik dalam perkarangan sekolah boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda maksimum RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan guru yang menghisap rokok elektronik, terutamanya di hadapan murid kerana ia jelas melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan mereka sebagai teladan sahsiah.
"Guru yang didapati menggunakan rokok elektronik atau merokok dalam perkarangan sekolah boleh dikenakan tindakan berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024," katanya.
BACA LAGI: Graduan perguruan tolak penempatan pertama boleh dikenakan tindakan disiplin — Fadhlina
BACA LAGI: [VIDEO] Kes buli sekolah TTDI: 4 pelajar digantung, 14 lagi kena amaran — Fadhlina
Fadhlina menjawab persoalan tersebut menerusi jawapan bertulis Parlimen pada Selasa.
Fadhlina berkata demikian menerusi jawapan bertulis menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa terhadap persoalan dibangkitkan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap).
Nurul Amin sebelum ini mengajukan soalan terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyatakan tindakan diambil untuk mengekang penggunaan rokok elektronik dalam kalangan pelajar.
Persoalan tersebut turut dikaitkan dengan dakwaan sebilangan guru menggunakannya secara terbuka yang sekali gus menjadi contoh tidak baik terhadap murid serta menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.
Fadhlina turut berkata, KPM sedang dalam proses menggubal Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) bagi menyertakan larangan merokok, termasuk penggunaan tembakau dan rokok elektronik yang berkaitan dengan vape.
"Pindaan itu selari dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang digazetkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1 Oktober 2024.
"Larangan itu termasuk penjualan produk berkaitan vape kepada individu di bawah umur 18 tahun dan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang menjulanya dalam lingkungan 40 meter dari pagar atau sempadan sekolah," katanya. — The Star/RAHIMY RAHIM, ALLISON LAI dan BENJAMIN LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram