[VIDEO] Cubaan 'plot twist', keluarga askar Indonesia tolak dakwaan mangsa maut dipukul kerana LGBT


  • Benua
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Bapa mendiang gagal mengawal emosi ketika mayat anaknya diusung selepas meninggal dunia di hospital.

PIHAK keluarga Prada Lucky Chepril Saputra Namo menolak sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan orientasi seksual mendiang sebagai punca kematian tragisnya.

Lucky yang merupakan anggota tentera Indonesia dari Nusa Tenggara Timur dilaporkan meninggal dunia akibat dianiaya oleh seniornya.

Isu yang menyebutkan bahawa Lucky didakwa seorang gay dan menjadi sasaran kekerasan karena orientasi seksualnya telah mencetuskan perdebatan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bapa salah', ayah tentera Indonesia tak mampu tahan marah lepas anak meninggal dunia akibat dibuli

BACA LAGI: Pilih lelaki: Bukan semua wanita pandang logo kereta — Dr Malar

Namun, kakaknya, Lusy Namo menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan tidak pernah terbukti.

“Itu tidak benar dan tidak terbukti. Adik saya selama ini adalah laki-laki normal, bergaul dengan siapa saja,” katanya.

Lusy mendakwa, isu berunsurkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tersebut sengaja dicetus untuk mengalihkan perhatian daripada kasus penyiksaan yang menyebabkan kematian adiknya.

“Jelas ini untuk menutupi aib mereka karena sudah menyiksa adik saya sampai meninggal, kenapa tidak ada bukti atau tangkapan secara langsung? Kalau benar, kenapa tidak langsung ditangkap ketika itu?,” katanya lagi.

Lusy turut mempersoalkan mengapa pihak berkenaan tidak pernah menyampaikan sebarang maklumat kepada keluarga berkaitan dakwaan tersebut.

“Harusnya disampaikan kepada kami kalau Lucky begitu. Bukan mereka siksa dia, lalu tutup semua komunikasi dengan orang tua dan keluarga,” katanya.

Menurut Lusy, keluarga hanya mengetahui keadaan Lucky setelah beliau sendiri meminta tolong kepada seorang petugas perubatan ketika dirawat di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Aeramo, Kabupaten Nagekeo.

“Kalau bukan karena dia minta tolong ke petugas perubatan untuk hubungi kami, mungkin kami tak tahu apa-apa,” katanya.

Pihak keluarga kini menuntut penyelidikan menyeluruh dan transparan terhadap kes tersebut, serta keadilan untuk mendiang Lucky yang didakwa menjadi korban kekerasan dalam institusi ketenteraan.

Terdahulu, mendiang yang baru sahaja dua bulan menjadi ahli perajurit difahamkan dimasukkan ke hospital disebabkan kecederaan fizikal dengan laporan semasa menyatakan mangsa mengalami kesan sebatan di badan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram