
BERMULA dari bawah sebagai kerani akaun, Teng Ngiek Lian mendaki tangga korporat selama 28 tahun berikutnya merentasi pelbagai industri hingga bergelar Ketua Pegawai Eksekutif, sebelum menubuhkan Target Asset Management pada 1996.
Firma pelaburan yang memberi tumpuan kepada pelaburan ekuiti Asia itu bermula dengan aset AS$5.5 juta (kira-kira RM23.3 juta) dan berkembang kepada AS$1.5 bilion (RM6.34 bilion) setakat 13 Jun 2015.
Didorong oleh keinginan untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat, beliau menubuhkan yayasan amal The Silent Foundation dengan modal endowmen SG$50 juta (RM164.22 juta) hasil dana peribadi keluarga Teng.
BACA LAGI: 'Nak buat bisnes kena ada jiwa', semangat ayah dan kekuatan ibu resipi kejayaan pengasas Q Bistro
Hari ini, The Silent Foundation terus menyumbang kepada masyarakat dengan memperjuangkan perihal daripada hak wanita, pekerja asing, penjagaan kesihatan mental, perlindungan haiwan hingga kelestarian alam sekitar.
Tidak terhenti di situ, Teng, 70, yang merupakan anak jati Terengganu menyumbang kembali kepada pusat pengajiannya dahulu, Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Mengimbas kembali perjalanannya, Teng menyara diri dengan membuat kerja sambilan sambil melanjutkan pengajian profesional selepas tamat O-Level pada usia 18 tahun.
Dia kemudian berjaya menjadi akauntan bertauliah dan setiausaha berkanun.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Guthrie Malaysia Holding, WBL, serta Pengarah Urusan Morgan Grenfell Investment Management (Asia) dan UBS Asset Management, Singapura.
Teng yang juga Pengerusi Eksekutif yayasan berkenaan memberi komitmen untuk membuat sumbangan dana RM1 juta setiap tahun seumur hidupnya melalui The Silent TAR UMT Fund.
Dana yang berjumlah RM1 juta itu akan diagihkan sama rata kepada tiga bidang utama, dengan setiap satu kategori menerima RM333,333.
Ia melibatkan penyelidikan teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan, tenaga hijau, robotik, automasi dan teknologi kewangan.
Selain itu ialah pemupukan keharmonian kaum dalam kalangan pelajar TAR UMT dan pelajar dari institusi lain.
Ia juga membabitkan sokongan kepada inisiatif sosial pelajar, bagi melahirkan pemimpin mahasiswa yang berjiwa masyarakat dan bertanggungjawab.
Komitmen jangka panjang itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoA) antara Teng dan Presiden TAR UMT, Prof Datuk Dr Lee Sze Wei.
Ketika menyampai ucapan penghargaan, Teng secara merendah diri berkata, dia menerima banyak sokongan daripada masyarakat semasa melewati zaman remajanya.
“Apaila kita buat baik kepada orang lain, sebenarnya kita buat baik kepada diri sendiri.
“Kita perlukan individu yang hebat dan berjaya, tetapi kehebatan itu mesti disulam dengan sisi kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada warga TAR UMT termasuk alumni atas peluang untuk kembali menyumbang kepada institusi yang membentuk jati dirinya.
Sebagai sebahagian daripada acara, sebuah projek tajaan The Silent Foundation turut diperkenalkan sebagai contoh inovasi berasaskan tanggungjawab sosial.
Yap Jing Zong, alumni TAR UMT dan pengasas 4LEAF, membentangkan projek Urban Recycling Ecosystem (URE), sebuah ekosistem kitar semula yang bertujuan mendidik generasi muda dan mewujudkan kampus lestari yang mampan.
The Silent Foundation yang berpangkalan di Singapura itu diasaskan oleh Teng sendiri pada 14 Julai 2010, khusus bagi membantu golongan terpinggir agar tidak tersisih daripada masyarakat.
Langkah Teng menubuhkan yayasan itu mencerminkan semangat filantropi sejati tatkala dunia kini semakin individualistik. — The Star/ JAAYNE JEEVITA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram