Timba pengalaman kerja di Qatar, syarikat anak jati KL antara entiti teraju projek RTS Link Malaysia-Singapura


  • Bisnes
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Faiz bergambar di laluan RTS Link yang menghubungkan Malaysia dengan Woodlands, Singapura.

KEJAYAAN tidak datang bergolek menjadi perumpamaan yang cukup sesuai untuk menggambarkan jerih perih yang perlu dilalui Yunus Faiz Yahya untuk meletakkan syarikat kejuruteraan miliknya dalam satu liga berbeza.

Mengasaskan YFY Engineering Sdn Bhd pada 2014, lelaki berusia 42 tahun yang lebih mesra disapa Faiz itu bermula dengan menimba banyak pengalaman dalam bidang kejuruteraan termasuklah semasa berkhidmat di Qatar selama dua tahun.

Berkelana ke negara Timur Tengah itu pada 2010, Faiz berkata, dia antara rakyat Malaysia yang terlibat dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (dulu dikenali sebagai Lapangan Terbang Antaranbangsa New Doha).

BACA LAGI: Pernah jadi bos 4 cawangan kedai telefon, wanita dari Ipoh ikut jejak ibu pandu bas di Singapura

BACA LAGI: Miniland bertema Singapura tarikan baharu di Nusajaya, guna 1.5 juta bata mini Lego

Faiz berkata, syarikatnya terlibat dalam pemasangan sistem komunikasi bagi projek RTS Link Malaysia-Singapura.

"Semasa di Qatar, saya juga ada berulang alik ke ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dalam tempoh tiga bulan untuk sebuah lagi projek di sana," katanya kepada Majoriti.

Sekembalinya ke Malaysia, Faiz cenderung mengusahakan perniagaan sendiri sebelum terlibat dengan projek mega antaranya menyediakan kabel Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang Line (SBK) dimiliki oleh MRT Corporation pada 2016.

Menempa kepercayaan kliet korporat dari semasa ke semasa, syarikat dimiliki anak jati Kuala Lumpur itu diberikan kepercayaan untuk mengendalikan projek lain dengan yang terbaharu adalah pemasangan sistem komunikasi bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Malaysia-Singapura.

Menurut Faiz, syarikatnya juga bertanggungjawab dalam pembekalan traction-power supply (TPS) (system equipment) memandangkan RTS Link menggunakan set tren tanpa pemandu bagi laluannya dari Stesen Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura meliputi jarak kira-kira enam kilometer.

"Selain dua pakej tersebut, syarikat ini juga menyediakan satu lagi pakej untuk RTS Link iaitu sistem keselamatan kamera bagi Stesen Bukit Chagar dan Depoh Wadi Hana," katanya.

Kepakaran dan kemahiran mendalam serta dan kompetensi yang tinggi dalam bidang kejuruteraan merupakan antara aspek utama yang menjadi keutamaan YFY Group. — LOW BOON TAT/THE STAR

Kongsi Faiz, sebagai syarikat kontraktor G7, pihaknya mengeluarkan modal permulaan berjumlah hampir RM2 juta bagi projek berkenaan yang nilai kontrak berjumlah RM14 juta.

Ujarnya, YFY Engineering Sdn Bhd juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa nama besar termasuk Pestech Technology, Sapura Rail System dan China Harbour Engineering Company bagi menjayakan projek mega itu.

Tidak lokek berkongsi ilmu, graduan Diploma Kejuruteraan (Teknologi Kimpalan), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Bangi, Selangor itu berkata, terdapat beberapa aspek penting yang amat dititikberatkan syarikatnya bagi mampu berdaya saing selain terus mendapat kepercayaan pelanggan dan pemain industri.

Katanya, dari segi teknikal, kepakaran dan kemahiran mendalam serta dan kompetensi yang tinggi dalam bidang kejuruteraan merupakan antara aspek utama yang menjadi keutamaan syarikatnya.

Interview Jurutera, Yunus Faiz untuk Sukses.—LOW BOON TAT/THE STAR

Faiz menegaskan bahawa kejayaan dalam sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung kepada operasi di lapangan, tetapi juga aspek pengurusan dalaman yang kukuh. — LOW BOON TAT/THE STAR

"Kejayaan ini turut dipengaruhi oleh penggunaan peralatan yang bersesuaian dengan kehendak semasa.

“Dari segi tools pula, kita banyak guna peralatan moden dan berteknologi tinggi. Ia jauh lebih efisien berbanding kaedah tradisional yang memerlukan ramai pekerja serta boleh menimbulkan suasana kerja yang agak messy,” jelasnya.

Tambah Faiz, pendekatan lebih sistematik turut diamalkan oleh pasukannya bermula daripada pemasangan kabel, penyusunan masuk rack dan mengikut aliran kerja yang telah ditetapkan hingga ke fasa ujian akhir.

“Segalanya berjalan langkah demi langkah mengikut aliran kerja yang jelas, sekali gus menghasilkan kualiti kerja yang yang lebih berkualiti dan tersusun,” katanya yang memiliki 70 orang kakitangan.

Dari sudut pengurusan pula, Faiz menegaskan bahawa kejayaan dalam sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung kepada operasi di lapangan, tetapi juga aspek pengurusan dalaman yang kukuh.

“Dalam bisnes, kita kena urus dua bahagian penting — satu dari segi tenaga kerja, dan satu lagi dari segi pengurusan. Di sinilah kami banyak belajar dan terus mencari pendekatan baharu untuk memperbaiki sistem sedia ada,” ujarnya.

RTS Link menghubungkan Stesen Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura meliputi jarak kira-kira enam kilometer.

Katanya, setiap kali menerima projek, pasukannya akan menilai pelbagai aspek daripada mempercepatkan proses kerja, mengenal pasti mesin bersesuaian hinggalah mencadangkan peralatan yang boleh menjamin hasil lebih berkualiti.

“Untuk itu, kami juga peruntukkan bajet khas bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan (R&D), terutamanya dalam hal berkaitan perolehan peralatan dan sistem baharu yang boleh meningkatkan kecekapan," katanya.

Menurut Faiz lagi, kebanyakan teknologi dan peralatan yang digunakan dalam projek-projek kendalian YFY Engineering diimport dari luar negara antaranya China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah seperti United Kingdom, Itali dan Belanda.

"Setiap teknologi mempunyai kelebihan tersendiri, dan pemilihannya dibuat dengan teliti bagi memastikan ia dapat memenuhi piawaian projek dan menjamin kualiti hasil kerja," tuturnya.

Memandang ke hadapan, Faiz berkata, YFY Engineering menyasarkan peluang untuk terlibat dalam projek MRT Mutiara Line yang dirancang di Pulau Pinang.

“Buat masa ini, kami masih fokus pada RTS Link, tetapi sasaran seterusnya adalah MRT Mutiara Line di Pulau Pinang,” ujarnya ringkas.  — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram