
KEMATIAN tragis Zara Qairina Mahathir yang berumur 13 tahun telah membangkitkan kebimbangan dan pelbagai spekulasi berkenaan kemungkinan beliau menjadi mangsa buli yang berpanjangan.
Walaupun kes tersebut masih disiasat, namun tidak dinafikan tragedi yang berlaku di sebuah persekitaran sekolah telah menyerlahkan potensi keruntuhan sistem pendidikan negara, mekanisme penguatkuasaan undang-undang dan sikap moral.
Tragedi ini bukan hanya membabitkan kesedihan sesebuah keluarga sahaja, tetapi juga membabitkan kepentingan negara.
BACA LAGI: Sudah lama tukar sekolah, bapa pelajar difitnah pembuli Zara Qairina nekad failkan saman
BACA LAGI: Peguam sahkan ada kesan cedera pada mayat Zara Qairina selepas bedah siasat
Sekiranya hasil siasatan dapat mengesahkan unsur buli di dalam kes kematian Zara, maka ia bukan sekadar insiden kehilangan nyawa yang tragis, tetapi kegagalan perlindungan sistemik.
Ia juga adalah satu peringatan bahawa keselamatan di dalam sekolah bukan isu terpencil, tetapi berkait rapat dengan keadilan kehakiman, urus tadbir sosial dan nilai teras negara.
Sekiranya terbukti wujud gejala buli, ia tidak boleh diabaikan sebagai 'usikan kebudak-budakan' semata-mata, sebaliknya kemungkinan wujudnya keganasan sistemik yang sering dikait rapat dengan penyalahgunaan kuasa, sikap tidak peduli secara kolektif, dan toleransi tersirat dalam struktur institusi.
Pada tahun 2023, UNESCO melaporkan bahawa kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan pelajar di seluruh dunia pernah menjadi mangsa buli dan kemungkinan risiko bunuh diri di kalangan mangsa-mangsa buli dianggarkan antara dua hingga sembilan kali lebih tinggi berbanding pelajar bukan mangsa buli.
Di dalam konteks Malaysia, Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan bahawa lebih daripada 6,000 insiden buli di sekolah telah dilaporkan secara rasmi diseluruh negara sepanjang tahun 2022.
Daripada ini, hanya kurang daripada 10 peratus dikenakan tindakan undang-undang, di mana yang selebihnya diselesaikan menerusi pengantaraan dalaman, kompromi ibu bapa atau tindakan disiplin yang kecil.
Walaupun langkah-langkah ini dapat menyelesaikan masalah dengan cepat, hakikatnya ia mempunyai kesan pencegahan yang terhad.
Budaya lemah lembut seperti ini dikhuatiri akan membawa kepada pengurangan akauntabiliti yang bakal mewujudkan sebuah persekitaran di mana para pembuli akan terus berani membuli, sementara mangsa buli dibiarkan terdedah kepada ancaman.
Sekiranya hasil siasatan dapat mengesahkan unsur buli di dalam kes kematian Zara, maka ia bukan sekadar insiden kehilangan nyawa yang tragis, tetapi kegagalan perlindungan sistemik.
Lebih membimbangkan adalah dakwaan bahawa wujudnya percubaan untuk menangguhkan ataupun mengaburkan proses siasatan.
Sekiranya dakwaan ini benar, maka ia adalah satu lagi kemudaratan kepada mangsa serta pelanggaran undang-undang dan etika yang serius.
Tiada sesiapapun harus dikecualikan daripada siasatan, dan tiada perlindungan harus diberi kepada pihak bertanggungjawab sepanjang proses tuntutan keadilan.
Kajian psikologi telah lama membuktikan bahawa individu yang menjadi mangsa buli semasa zaman kanak-kanak ataupun remaja sering mengalami kesan jangka panjang yang ketara termasuk keresahan yang tinggi, kemurungan, kehilangan keyakinan diri dan penarikan diri sosial.
Peguam Shahlan Jufri (duduk) menunjukkan pakaian terakhir yang dipakai oleh Zara Qairina yang tidak dirampas oleh pihak polis untuk siasatan mereka.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat juga telah mengenal pasti insiden buli sebagai faktor risiko besar dalam pemikiran dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja.
Ia penting untuk memahami bahawa kes buli jarang sekali perbuatan terpencil; sebaliknya ia sering muncul sebagai sebahagian 'sistem rakan sejenayah senyap' (silent accomplice system) yang berterusan, di mana satu rangkaian pelaku buli langsung, pemboleh pasif, sikap acuh tak acuh oleh pemerhati dan ketidakberkesanan tindak balas institusi yang membenarkan buli terus berlaku.
Justeru itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera dan secara telus.
Proses bedah siasat lengkap harus dijalankan bagi memastikan tiada bukti forensik yang terlepas pandang dan menggunakan sains untuk menuntut keadilan bagi mangsa.
Pihak polis juga harus mengumumkan garis masa siasatan yang jelas, mengemas kini maklumat kepada pihak umum, serta memastikan ketelusan dalam pengendalian kes ini.
Mana-mana penjawat awam, pegawai penguat kuasa undang-undang ataupun kakitangan sekolah yang didapati menghalang proses perundangan wajar digantung atau didakwa.
KPM dan pihak sekolah juga harus menjelaskan sama ada Zara pernah meminta bantuan, dan mengapa keselamatan mangsa tidak diutamakan.
Mana-mana pihak yang terbukti terlibat dalam kes buli ini harus diheret ke muka pengadilan tanpa kira status, latar belakang mahupun identiti mereka.
Para pegawai yang terbukti gagal mengambil tindakan juga harus dipertanggungjawabkan.
Menangani tragedi ini hanya langkah pertama; dengan matlamat utama untuk mencegah insiden ini daripada berulang.
Oleh itu, kami sekali lagi menekankan keperluan penggubalan Akta Anti-Buli yang komprehensif untuk mentakrifkan perbuatan membuli, menggariskan liabiliti jenayah, mewajibkan pelaporan dan menetapkan langkah-langkah untuk menjamin keselamatan mangsa.
Kerajaan boleh meneliti dan mengkaji langkah-langkah pencegahan buli yang diambil Korea Selatan dan Jepun, dimana kedua-dua negara ini telah menggubal akta yang menggariskan tanggungjawab perundangan pihak sekolah dan pihak berkuasa pendidikan untuk mengambil tindakan tegas dengan segera.
Jasad arwah Zara Qairina selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. — foto/Serina Olivia Chong
Pemupukan tanggungjawab yang sama di Malaysia akan menginstitusikan kebertanggungjawaban, mengukuhkan pencegahan dan menjamin kebajikan para pelajar.
Dengan ini, kami menggesa semua sekolah untuk mengguna pakai protokol anti-buli yang sudah diseragamkan, menubuhkan saluran aduan yang bebas, melantik pegawai anti-buli dan mewajibkan pelaporan semua kes buli kepada KPM dan pihak polis dalam tempoh 24 jam.
Sebuah Jawatankuasa Keselamatan Sekolah dan Kesihatan Mental juga harus ditubuhkan dan dianggotai KPM, Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberi bantuan kaunseling, rawatan perubatan, bantuan guaman dan sokongan keluarga dengan segera kepada mangsa buli.
Pendidikan anti buli dan kesihatan mental juga harus diterapkan ke dalam kurikulum sekolah seperti latihan empati, bengkel pengurusan emosi, dan program sokongan rakan sebaya.
Statistik tahunan, hasil kes dan laporan keselamatan sekolah juga harus dibentangkan di Parlimen dan kepada pihak awam untuk pengawasan berterusan.
Pengalaman antarabangsa juga membuktikan bahawa pembaharuan institusi dan perundangan mampu menyelamatkan nyawa.
Berikutan kes Sekolah Tinggi Perempuan Busan di Korea Selatan pada tahun 2011, undang-undang telah dipinda untuk mewajibkan pihak sekolah memaklumkan pihak polis dalam tempoh 24 jam serta membolehkan pemindahan pembuli.
Di Jepun, insiden bunuh diri seorang pelajar kerana dibuli teruk di Ōtsu, Wilayah Shiga pada 2011 telah membawa kepada penggubalan undang-undang pencegahan buli yang juga mempertanggungjawabkan pihak sekolah dan lembaga pendidikan.
Kedua-dua preseden atau contoh duluan ini membuktikan bahawa hanya menerusi undang-undang tegas dan pengukuhkan perlindungan institusi boleh menghakis sikap toleransi tersirat dan sikap acuh tak acuh di kalangan masyarakat.
Pengendalian kes Zara adalah satu ujian terhadap sistem keadilan dan moral negara kita. Ukuran sebenar politik bukan semata-mata kuasa atau ekonomi, tetapi juga dikaitkan dengan perlindungan maruah dan nyawa setiap rakyat, khususnya kanak-kanak.
Apabila institusi gagal melindungi golongan yang terdedah, maka keganasan akan dinormalisasikan dan keadilan dinafikan.
Oleh itu, sekiranya kes ini gagal ditangani dengan baik, ia akan menghakis kepercayaan rakyat dan akan membawa kepada kemarahan dan kekecewaan generasi ini.
Di sini, Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup MCA tidak akan mendiamkan diri, dan akan terus bersuara sehingga kebenaran dan keadilan ditegakkan, serta pembaharuan sistemik dilaksanakan. — Majoriti
Dato’ Dr. Monna Ong Siew Siew merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup MCA
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram