"DI MANA Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ketika anak saya dibunuh dengan kejam tujuh tahun lalu? Itulah luahan Zulkarnain Idros, 60, terhadap organisasi tersebut berhubung kenyataan yang membantah hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh anaknya, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Zulkarnain turut meluahkan rasa kecewa kerana Suhakam dilihat mempunyai agenda yang tersendiri dalam membantah hukuman mati tersebut.
"Kenapa perlu sekarang? Apa yang cuba mereka sampaikan?
BACA LAGI : Kekejaman jenayah 'rare', bekas peguam mahkamah tentera anggap kes bunuh Zulfarhan jahat dan zalim
BACA LAGI : : 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli
"Suhakam seolah-olah ada unsur politik. Mereka berpolitik demi kepentingan peribadi dan jika tidak ada kepentingan peribadi, mereka tidak akan memberikan kenyataan yang sedemikian rupa.
"Sebagai contoh, masa arwah diseksa tujuh tahun dahulu kenapa tiada yang tampil memberikan kenyataan?
"Sedangkan pada ketika itu Zulfarhan didera hingga kejam sehingga dia hilang nyawa. Mana keadilan untuk arwah? Mereka sudah tentu ada kepentingan dan agenda mereka sendiri," katanya kepada Majoriti.
Wajah-wajah tertuduh yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa.
Zulkarnain juga berharap agar tidak ada pihak lain mengambil kesempatan atas kes yang melibatkan kematian anaknya itu.
"Kita hormat keputusan mahkamah dan arwah anak saya juga layak mendapat keadilan yang selayaknya," ujarnya dalam nada sayu.
Pada Khamis, Suhakam meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.
"Gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman," katanya.
Pada Selasa, hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut UPNM itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Ia diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram