
TINDAKAN warga maya berkongsi maklumat berhubung kes Zara Qairina Mahathir mungkin hanya memberi sumbangan kecil kepada siasatan selain berpotensi menimbulkan masalah besar jika maklumat itu tidak tepat.
Peguam Jenayah, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, siasatan masih perlu dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis dan bergantung kepada bukti fizikal, bahan forensik serta tugasan kepolisan, bukannya maklumat di media sosial semata-mata.
“Maklumat daripada netizen mungkin memainkan peranan kecil, tetapi jika fakta yang dikongsi salah sehingga menimbulkan salah faham terhadap pihak tertentu.
BACA LAGI: Ibu Zara Qairina serah telefon ada rakaman perbualan kepada polis — Peguam
BACA LAGI: Teringat kesan lebam anak, ibu Zara Qairina buat laporan polis kedua
"Perkongsian tidak sahih itu juga sekali gus boleh membuka ruang kepada tindakan saman fitnah," katanya kepada Majoriti.
Peguam Jenayah, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid
Tambah beliau lagi, perkongsian maklumat sama ada benar atau tidak ketika kes masih dalam siasatan boleh mewujudkan isu subjudice, iaitu kes dibicarakan di ruang awam, bukannya di mahkamah.
"Seperti yang kita sedia maklum, kes tersebut masih berjalan dan sudah pastinya pihak berkuasa akan menyiasat kes tersebut secara adil dan saksama.
"Walaupun media sosial memberi ruang untuk kita menyatakan pendapat, namun ia bukanlah alasan untuk menimbulkan fitnah," katanya lagi.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan kes yang masih dalam siasatan sebagai bahan ulasan atau publisiti, apatah lagi berkongsi maklumat yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya.
“Jika benar-benar mempunyai maklumat atau bukti, salurkan terus kepada polis.
"Berkongsi maklumat yang tidak pasti kebenarannya bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi mengganggu siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penyebaran maklumat serta gambar pelajar yang dikaitkan dengan kes Allahyarhamah Zara Qairina yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini disahkan tidak tepat.
Beliau berkata, maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.
"Tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram