Exco Sabah nafi ada anak sama sekolah, terlibat kes buli Zara Qairina


  • Massa
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Mohd Arifin menafikan anak perempuannya bersekolah di institusi sama dengan Zara Qairina.

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menafikan dakwaan yang mengaitkan anaknya dengan insiden tragik membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.

Bercanggah dengan dakwaan yang tular di media sosial, Mohd Arifin menjelaskan beliau tidak mempunyai anak dengan nama yang disebut dan tidak bersekolah di sekolah yang sama dengan Zara Qairina.

“Saya ada baca di media berhubung dakwaan yang menyatakan ada seorang bernama Farisha, anak kepada saya. Sebenarnya saya tidak ada anak yang bernama sedemikian dan tiada anak saya yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” katanya memetik laporan Sabah Media. 

BACA LAGI: Peguam Negara arah gali semula kubur Zara Qairina, laksana bedah siasat

BACA LAGI: Ibu Zara Qairina serah telefon ada rakaman perbualan kepada polis — Peguam

Tambah Mohd Arifin, semasa Allahyarhamah dirawat di hospital, beliau bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta rombongan telah hadir menziarahi ibu pelajar berkenaan. 

“Pertamanya saya ingin menyatakan bahawa semasa beliau dirawat di hospital, saya bersama dengan Ketua Pengarah KPM hadir menziarah dan bertemu dengan ibu beliau .

“Yang kedua, selepas empat hari Allahyarhamah meninggal dunia, saya juga bersama dengan rakan-rakan rombongan daripada Yayasan Sabah dan wakil Rakyat Sindumin hadir untuk ziarah di Sipitang untuk menyampaikan salam daripada Ketua Menteri," jelasnya. 

Mohd Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agaman Sabah turut mendoakan agar roh pelajar berkenaan dicucuri rahmat ALLAH SWT, selain meminta ibu dan keluarga arwah agar tabah menghadapi ujian tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menunggu hasil siasatan polis dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap insiden yang menimpa pelajar berusia 13 tahun itu.

Exco Pendidikan dan Agaman Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

“Kita tunggu hasil siasatan polis. Kita tidak akan berkompromi berhubung apa yang berlaku kepada pelajar ini, dan kita minta supaya siasatan terbuka terus dilaksanakan demi keadilan untuk anak arwah,” katanya. 

Semantara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina  akan dijalankan secara telus tanpa sebarang tolak ansur.

Beliau menegaskan, individu yang bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi.

“Kita juga tak mahu benda ini jadi bahan politik. Pepatah Melayu sebut, jangan membina istana di atas pusara orang. Tengah korban, kamu fikir nak guna untuk bina istana, jangan. Arahan kita jelas, tiada ada tolak ansur. 

"Kita minta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur tapi di Putrajaya turun dan pantau sendiri supaya jangan timbul masalah. Ini Kerajaan MADANI, tak ada nak lindungi pembunuh siapa pun,” katanya.

Menurut Anwar, kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, namun orang ramai diminta tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh mengundang fitnah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rancakkan Madani Kelantan dan Peluncuran Program Aku Kasih Malaysia di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, tiada apa yang perlu dibimbangi meskipun ada pihak yang mengaitkan kematian remaja perempuan berusia 13 tahun itu dengan orang kenamaan.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula mayat Allahyarham yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.

Tindakan itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan termasuk prosedur bedah siasat ke atas jenazah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram