
IBU kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon dengan anaknya kepada pihak polis di ibu pejabat polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah di Kapayan pada petang Khamis.
Pasukan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat berkata, tindakan itu adalah untuk membantu melengkapkan siasatan pihak polis susulan pengembalian semula kertas siasatan oleh Jabatan Peguam Negara pada Rabu.
"Kami berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Allahyarham kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam (Rabu) berserta arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
BACA LAGI: Teringat kesan lebam anak, ibu Zara Qairina buat laporan polis kedua
BACA LAGI: Tiada 'plot twist', peguam nafi tuduhan ibu terlibat kematian Zara Qairina
Shahlan (kiri) dan Hamid mengharapkan penyerahan itu akan membantu melengkapkan siasatan polis.
"Untuk membantu melengkapkan siasatan polis, anak guam kami iaitu ibu kepada Zara akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon antara dia dan Zara kepada polis pada petang ini (Khamis) di IPD Kota Kinabalu di Kapayan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam kenyataan bersama itu, pasukan peguam itu turut berharap, susulan penyerahan semula laporan kertas siasatan tersebut turut diiringi dengan langkah seperti yang dimohon menerusi surat yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
"Tindakan ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dimohon oleh kami dalam surat bertarikh 5 Ogos kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
"Kami berharap tiga perkara ini dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara," katanya.
Sebelum ini, empat rakaman suara melibatkan perbualan Zara Qairina bersama ibunya ditularkan di media sosial.
Zara Qairina yang berusia 13 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas selepas kematiannya didakwa dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram