Kongsi audio luahan Zara Qairina dibuli depan khalayak di Gaya Street, Suara Mahasiswa UMS gesa tuntutan didengar


  • Massa
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Polis tidak tolak kemungkinan unsur buli terhadap Zaera Qairina, siasatan lanjut diserahkan kepada Bukit Aman.

SUDAH 18 hari berlalu sejak negara dikejutkan dengan kes menyayat hati melibatkan Zara Qairina Mahathir, pelajar yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Papar, Sabah.

Insiden yang disifatkan sebagai 'kegagalan sistem pendidikan' oleh sesetengah pihak itu menyebabkan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Gerakan Anak Muda Pantai Timur (GEMPUR) terpanggil melakukan acara 'Aksi Vigil Tuntut Keadilan Adik Zara'.

Acara berkenaan dilihat sebagai satu bentuk solidariti serta desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan telus terhadap kes yang masih diselubungi pelbagai persoalan berkenaan.F

BACA LAGI: Kes Zara Qairina: Hormati prosedur, bukan cipta naratif awal tanpa siasatan lengkap — Peguam

BACA LAGI: Fadhlina Sidek, KPM nafi berdiam diri kes Zara Qairina, berkali-kali luang masa ziarah keluarga arwah

Dalam acara yang akan berlangsung di Gaya Street, Kota Kinabalu berkenaan, Suara Mahasiswa UMS dan GEMPUR akan memperdengarkan audio rakaman luahan Allahyarham Zara Qairina kepada khalayak.

Jurucakap Suara Mahasiswa UMS iaitu Sudirman Arshad berkata, acara tersebut bukan sekadar memperingati pemergian tragik Zara Qairina, tetapi juga membawa mesej jelas kepada masyarakat dan kerajaan bahawa mahasiswa tidak akan berdiam diri terhadap ketidakadilan.

"Untuk aksi vigil malam ini, mesej kami jelaslah kami menuntut keadilan adik Zara sebab apa yang berlaku kurang penjelasan. Kronologinya pada tanggal 16 Julai adik Zara dijumpai terjatuh di sekolahnya.

"Keesokan harinya, Zara disahkan meninggal dunia dengan kecederaan parah seperti tangan dan kaki patah, serta kerosakan organ dalaman yang menunjukkan unsur penderaan," katanya kepada Majoriti.

Pihak sekolah bagaimanapun menafikan berlaku kes buli, dan mendakwa pelajar terbabit hanya terjatuh dari tangga tetapi sehingga kini tiada sebarang kenyataan konkrit daripada pihak sekolah mahupun pihak berkuasa, selain penafian yang berterusan.

Sudirman yang juga Koordinator GEMPUR turut menyentuh mengenai wujudnya usaha untuk mengalihkan tumpuan dan memutarbelit naratif kes dengan menyalahkan keluarga mangsa melalui hantaran media sosial yang tular.

“Kami nampak gelombang 'plot twist' yang cuba alihkan salah ke atas keluarga arwah, dan perkara ini memperlihatkan bagaimana individu berkepentingan berkemungkinan cuba menutup kes ini.

"Siasatan juga telah dipindahkan ke Bukit Aman dan lebih 60 keterangan telah diambil, namun sehingga kini tiada hasil siasatan yang konkrit dikongsikan kepada umum. Ibarat ada cara untuk menutup kes ini," ujarnya.

Dalam aksi vigil tersebut, pihaknya akan turut mengadakan pidato mahasiswa, bacaan puisi, doa, bacaan doa, dan paling menyayat hati iiatu sesi ‘aksi senyap’ yang memperdengarkan audio terakhir perbualan antara Zara dan ibunya.

Penuntut UMS berusia 22 tahun itu memberitahu bahawa rakaman tersebut merupakan luahan Zara Qairina kepada ibunya dan ia memperlihatkan keperitan yang dilalui Allahyarham sebelum pemergiannya.

Jurucakap Suara Mahasiswa UMS, Sudirman Arshad.

"Aksi simbolik yang kami cuba buat ini dipanggil aksi senyap. Maksudnya kami akan pasangkan perbualan yang viral di sosial di antara arwah adik Zahra Qairina dengan ibunya yang mengatakan dia telah dibuli.

"Kami akan pasang audio itu menggunakan pembesar suara dengan pembakaran lilin dan mungkin ada pembakaran lantern light malam ni untuk memperingati kepergian adik Zahra Qairina," kata pelajar kursus Hubungan Antarabangsa berkenaan.

Menurut Sudirman, kes itu bukan satu kes terpencil tetapi cerminan berulang kegagalan sistem yang telah berlarutan tetapi juga mengimbau kembali kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan pelbagai lagi insiden buli di sekolah dan kolej.

Suara Mahasiswa UMS menyeru agar reformasi pendidikan dilaksanakan segera termasuk mewujudkan badan pencegahan buli secara sistematik di sekolah, selain menggesa Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek agar bertindak lebih berani dan telus.

“Kami tahu YB mungkin ada keterbatasan kuasa, tapi belum ada satu idealisme atau tindakan jelas untuk membendung budaya buli ini. Mahasiswa turun padang menuntut keadilan, dan kami harap kementerian juga memainkan peranan sama," ujarnya.

Tiga tuntutan yang digesa Suara Mahasiswa UMS dan GEMPUR ialah iasatan jujur dan menyeluruh oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab agar kebenaran dapat didedahkan tanpa sebarang campur tangan, demi keadilan untuk arwah Zara dan keluarganya.

Selain itu, mereka juga meminta agar reformasi sistem pendidikan berasrama agar lebih berkesan dalam menangani isu buli, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), perlindungan pengadu dan pemberi maklumat serta program pendidikan kesedaran buli yang menyeluruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram