
ISU buli di asrama sekolah kembali menjadi perhatian umum susulan kematian tragis seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
Kejadian itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan dan pengawasan pelajar di asrama.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang kawasan sekolah.
BACA LAGI: Salahkan guru saja takkan selesai isu buli — KGMMB
BACA LAGI: Gejala nafas pendek, sakit perut selepas kurangkan vape berkemungkinan 'withdrawal symptoms'
Tragedi tersebut turut mengundang pelbagai reaksi, termasuk gesaan supaya perjawatan warden asrama dikaji semula bagi memastikan pengawasan lebih berkesan.
Seorang pengguna media sosial, Asyraf Ahnaf, mencadangkan supaya jawatan warden diwujudkan dalam kalangan bukan guru atau diswastakan seperti pengawal keselamatan.
“Ini lantik warden dalam kalangan guru. Di sekolah dah penat, malam nak berjaga lagi. Bila jadi kes, semua kesalahan 'hempuk' (dituding) atas warden,” katanya.
Katanya, langkah itu diyakini dapat memastikan kawalan asrama lebih teratur sekali gus mengelakkan kejadian buli berulang.
Zara Qairina Mahathir dipercayai menjadi mangsa buli di asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah. — Orang Awam
Seorang lagi pengguna, Siti Nurlina, berpendapat penempatan warden profesional sepenuh masa penting bagi mengelakkan insiden terlepas pandang.
“Kalau ada warden yang fokus jaga asrama, mungkin pelajar lebih selamat. Sekarang banyak kes, tapi lepas tu senyap begitu saja,” katanya.
Bagi Azman Rahim, pendekatan pengawasan di asrama perlu dirombak secara menyeluruh dengan penekanan terhadap latihan pengendalian kes buli dan kecemasan.
"Tak cukup hanya letak warden. Mereka kena ada latihan macam pegawai keselamatan. Buli ni bukan benda main-main, nyawa orang terlibat," tegasnya.
Tragedi yang meragut nyawa Zara Qairina seharusnya menjadi titik tolak kepada perubahan serius dalam pengurusan asrama sekolah.
Cadangan melantik warden profesional atau diswastakan bukan sekadar isu kos, tetapi melibatkan nyawa dan keselamatan pelajar yang berada jauh daripada pengawasan ibu bapa.
Selagi sistem pengawasan di asrama tidak diperkasakan, risiko kejadian buli yang membawa padah akan terus menghantui pelajar, ibu bapa, dan masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram