
APA yang bermula sebagai lukisan corak di dalam buku nota dan iPad, kini menjadi titik tolak kepada kelahiran jenama hijab Sairabyaisa.
Di sebalik jenama itu, terdapat susuk seorang remaja yang baru berusia 19 tahun dengan menjadikan seni sebagai landasan menjalankan bisnes.
"Pada suatu hari itu, saya sedar yang saya sering lukis corak tudung tapi tak buat apa-apa mengenainya. Saya fikir daripada biarkan saja lukisan itu di dalam iPad, saya mula kumpul duit dan mulakan perniagaan jual tudung," ujar pengasasnya, Aryssa Iskandar.
BACA LAGI: Pelanggan setia sanggup berhabis RM500, kedai comel di PJ cetusan 2 sahabat baik pikat Gen Z
Kedai ‘pop-up Sairabyaisa di FOMO Weekend Market yang diadakan pada 31 Mei hingga 1 Jun lalu — Instagram/ Sairabyaisa
Bagi pelajar Politeknik Temasek di Singapura itu, rekaan hijabnya mewakili generasi pereka Gen Z yang lebih gemarkan corak-corak 'bold' dengan warna-warna terang.
Setiap tudung dalam koleksinya bermula daripada lakaran kreatif sama ada di atas kanvas mahupun digital sebelum diterjemah ke helaian fabrik.
“Ilham bagi rekaan koleksi datang daripada kehidupan seharian. Bagi saya ilham bukan sesuatu yang kita boleh cari, tetapi ia akan datang sendiri.
“Apabila saya berada di luar dan kebetulan ternampak sesuatu yang comel atau cantik, saya akan merakam gambarnya sebelum lukis untuk hasilkan koleksi menarik," kata Aryssa memetik laporan Berita Mediacorp.
Pelajar tahun akhir jurusan Seni Bina Dalaman dan Reka Bentuk itu tidak hanya sekadar mengikut arus trend semasa, tetapi menjadikan Sairabyaisa sebagai medium ekspresi peribadi yang unik.
Seperti kebanyakan anak muda yang mahu mencuba sesuatu di luar kebiasaan, Aryssa turut berdepan cabaran meyakinkan keluarga terutamanya bapanya.
“Ibu sangat supportive tapi ayah risau saya akan hilang fokus pada pelajaran. Tapi saya berjaya buktikan yang saya boleh seimbangkan kedua-duanya. Mereka mula sedar saya serius dengan perniagaan ini dan ia berjalan lancar,” katanya.
Walaupun sibuk dengan tugasan kuliah dan jadual akademik, Aryssa tetap meluangkan masa menguruskan perniagaannya.
Kadangkala, dia terpaksa menolak ajakan keluar bersama rakan demi memberi tumpuan kepada Sairabyaisa.
“Saya tiada masalah untuk berkorban kerana ini memang sesuatu yang saya minat,” tambahnya penuh yakin.
Minat Aryssa terhadap keusahawanan sebenarnya telah bercambah sejak di bangku sekolah menengah dengan menjual aksesori dan pelekat, namun tidak bertahan lama.
Bezanya kali ini, Sairabyaisa lahir bukan semata-mata untuk menjual, tetapi berkongsi karya seni yang lahir daripada jiwanya.
“Saya satu-satunya dalam keluarga yang cenderung ke arah bisnes. Mungkin sebab saya suka berkarya dan ingin hasil seni saya dikongsi dengan lebih ramai orang,” katanya.
Kios pop-up Sairabyaisa yang dibuka pada bulan puasa lalu di Arab Street. — Instagram
Sokongan awal daripada keluarga dan rakan sekolah menjadikan dia lebih yakin melangkah ke hadapan.
Malah, boleh dikatakan mereka jugalah pelanggan pertama yang membeli koleksi tudungnya.
"Apabila ternampak orang pakai tudung saya di luar, saya akan tegur dan ambil gambar dengan mereka,” kongsinya sambil tersenyum.
Lebih daripada sekadar menjual tudung, Aryssa juga berharap wanita berhijab berasa lebih yakin diri semasa menggayakan tudung rekaannya.
“Jangan takut dengan tudung yang coraknya ‘wow’. Ia sebenarnya menyerlahkan seri dalaman anda. Saya harap apabila pakai tudung Sairabyaisa, anda rasa lebih yakin tampil di hadapan khalayak,” katanya.
Setakat ini, jenama Sairabyaisa telah menghasilkan tujuh koleksi tudung dengan harga bermula S$18 (RM59.30) bagi jenis shawl menjadikan ia pilihan mampu milik terutamanya buat pelajar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram