Mulakan 'start up' jual patch jerawat, 2 sahabat sasar jadi 'beauty unicorn' pertama Asia Tenggara


  • Bisnes
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Esther (kiri) dan Ethan meletakkan jawatan pada Mac 2022 sebelum memberi tumpuan kepada bisnes Dododots.

TIDAK seperti 'patch' jerawat biasa yang mengikut warna kulit dan lutsinar, produk Dododots hadir dalam pelbagai rekaan kreatif.

Ada rekaan rama-rama, bintang berkilau, corak doodle, kemasan holografik malah ada juga yang dihiasi dengan batu permata.

Bahkan koleksi pelik seperti lipas juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada Gen Z.

Ironinya, pengasas Dododots, Esther Erin, 29, dan Ethan Wong, 27, tidak menganggap diri mereka sebahagian daripada golongan tersebut.

BACA LAGI: Pelanggan setia sanggup berhabis RM500, kedai comel di PJ cetusan 2 sahabat baik pikat Gen Z

BACA LAGI: Lakaran iPad jadi corak hijab, budak politeknik buka mata ayah, buktikan mampu urus jenama hijab sendiri

Selepas kejayaan koleksi terhad The Powerpuff Girls, Dododots sedang merancang satu lagi kerjasama berlesen IP. — Dododots

Namun demikian, mereka jelas tahu cara untuk mendekati dan memikat hati Gen Z apabila rekaan Dododots yang comel dan trendy laris di pasaran dengan dianggarkan lebih sejuta pek terjual di seluruh dunia.

Esther dan Ethan yang memiliki latar belakang dalam bidang pemasaran berkenalan ketika bekerja di sebuah agensi kreatif.

Ketika itu, antara tugas mereka ialah membina kempen untuk klien hartanah mewah hingga pengalaman tersebut membuka mata Esther kepada sesuatu yang tak pernah difikirkannya.

"Saya terfikir kalau kami boleh bina jenama untuk orang lain, mengapa tidak untuk diri sendiri?" imbasnya.

Dari situ idea untuk membuat tampalan jerawat hiasan tercetus berdasarkan pengalamannya ketika menjalani zaman remaja.

"Kulit saya mudah berjerawat, jadi saya menampal pelekat comel di atas 'patch' jerawat biasa supaya berasa lebih yakin," katanya.

Ketika itu, pasaran Malaysia hanya menawarkan tampalan jerawat hydrocolloid biasa yang akan bertukar putih apabila menyerap nanah.

 

 

Ethan yang mendengar mengenai idea itu daripada Esther benar-benar teruja kerana dia juga pernah mengalami masalah jerawat ketika remaja dan faham betapa ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan kehidupan sosial.

Pada hujung 2021, walaupun masih bekerja sepenuh masa, kedua-dua sahabat itu mengumpul simpanan sebanyak RM15,000 untuk melancarkan Dododots, dengan Esther mengetuai pemasaran manakala Ethan mengurus operasi.

Hingga ke hari ini, semua keputusan strategik dibuat secara bersama.

“Sejujurnya, enam bulan kemudian kami hampir putus asa.

“Kami terlalu sibuk dengan kerja sepenuh masa, memang tak mampu nak urus kedua-duanya. Kami rasa burnout. Tengah malam pun masih bungkus pesanan. Rasa macam tak berbaloi," kata Esther.

Tambah Ethan, apa yang menguatkan semangat mereka ialah mengingat kembali keterujaan semasa mula-mula memulakan perniagaan.

"Kami rasa keputusan meletak jawatan dan beri sepenuh fokus kepada Dododots satu tindakan yang betul,” katanya.

Mesin layan diri pertama Dododots di Sunway Pyramid melonjakkan jualan produk dalam tempoh hanya tiga bulan. — Dododots

Bagi meredakan tekanan, Esther dan Ethan berbincang dengan majikan masing-masing dan bertanya sama ada mereka boleh kembali bekerja sekiranya perniagaan gagal dalam masa enam bulan.

Persetujuan dan jaminan yang diberikan bos memberikan mereka keberanian untuk meneruskan perniagaan tersebut.

Selepas meletakkan jawatan pada Mac 2022, Esther dan Ethan memberi tumpuan kepada Dododots dan usaha gigih mereka mula menampakkan hasil.

Apabila mereka melancarkan mesin layan diri pertama Dododots di Sunway Pyramid pada April 2023, ia dengan pantas melonjakkan jualan dan menjana keuntungan dalam tempoh hanya tiga bulan.

“Itu langkah pertama kami dalam dunia runcit dan antara keputusan perniagaan terbaik yang pernah kami buat,” kata Ethan sambal memberitahu, mereka menembusi pasaran Singapura pada Mac 2024.

“Orang Singapura lebih suka rekaan ringkas seperti Dodobear atau Star-Kissed, manakala rakyat Malaysia gemar Pastel Petals dan Butterflies. Di Vietnam pula, Fruit Partay merekodkan jualan paling laris,” kongsi Ethan.

Rekaan 'patch' yang comel dan menarik memikat pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada Gen Z. — Dododots

Kini, Dododots yang dikilangkan di China, dipasarkan di outlet retail di 10 negara selain dieksport ke lebih 40 negara.

"Kami fokus untuk berinovasi dalam kategori tampalan jerawat walaupun sedar ada pesaing dah mula keluarkan siri penjagaan kulit," ujarnya.

Fokus itu membawa kepada pengenalan siri Dodoskin pada 2023 dengan menawarkan koleksi tampalan yang sepadan dengan tona kulit dan berfungsi sebagai penyamar noda.

"Ia dilancarkan dengan lima tona kulit, dan lima lagi bakal menyusul. Kami dah mula rangka idea ini sejak 2021, sebelum dicontohi jenama lain," tutur Ethan.

Mereka turut mengubah formulasi berdasarkan maklum balas pelanggan, termasuk versi infusi minyak tea tree dan kini sedang membangunkan bahan aktif baharu.

“Orang fikir kami dah berjaya, tapi bagi kami, ini baru permulaan," katanya.

Siri Dodoskin yang menawarkan koleksi tampalan sepadan dengan tona kulit dan berfungsi sebagai penyamar noda dilancarkan pada 2023. — Dododots

Menurut Esther, mereka bercita-cita untuk menjadi unicorn kecantikan pertama di Asia Tenggara (syarikat pemula bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.24 bilion).

"Walaupun sudah ada pelabur yang berminat, kami masih kekal tanpa dana luar kerana belum bersedia.

“Sebaik saja ambil pelaburan, tekanannya lain. Ada peraturan, jangkaan dan semuanya jadi tentang keuntungan," ujar Esther.

Meskipun tanpa 'investor', Dododots berkembang daripada dua pekerja pembungkusan pesanan kepada pasukan seramai 24 orang.

Jumlah rekaan produk juga meningkat secara drastik daripada lapan rekaan pada tahun pertama kepada unjuran 70 tahun ini.

“Kami sedang isi jurang pasaran dan teroka segmen baharu,” kata Ethan yang menyasarkan pengembangan global.

Mereka juga sedang merancang satu lagi kerjasama berlesen IP (intelectual property) selepas kejayaan koleksi terhad The Powerpuff Girls.

"Kami sedang usahakan untuk tembusi lebih banyak negara tahun ini. Kalau semuanya berjalan lancar, Dododots akan berada di 18 negara menjelang akhir 2025," katanya yakin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram