
PELAKON Mimi Lana tampil menyuarakan rasa marah dan kecewa terhadap kegagalan sistem dalam melindungi remaja perempuan, Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga membawa kepada kematiannya pada 17 Julai lepas.
Zara, 14, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah berasrama penuh di Papar, Sabah sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan hari.
Kematian remaja itu menimbulkan pelbagai persoalan selepas tular maklumat yang mendakwa Zara sebelum ini beberapa kali menyuarakan penderitaan akibat dibuli oleh rakan sebaya di sekolah.
Dalam hantaran tular di media sosial, Zara pernah beberapa kali menyebut nama-nama pelajar yang membulinya, namun tiada tindakan tegas diambil.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, Mimi Lana menyelar kelewatan tindakan pihak bertanggungjawab dan mendesak agar semua pelaku dikenakan hukuman setimpal.
“Kita perlukan keadilan untuk adik Zara, sekarang!”
"Adik Zara, seorang murid sekolah berulang kali menyuarakan penderitaan. Dia dah minta tolong, dia dah beri petunjuk, tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari… sehingga dia akhirnya pergi.
“Sama ada dia dibunuh atau tidak, faktanya dia dibuli. Dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana. Apa lagi yang kita tunggu?," katanya.
Mimi turut menuntut agar semua yang terlibat termasuk ibu bapa yang melindungi anak walaupun tahu mereka pembuli, disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.
“Sampai bila kita mahu tunggu ada lagi nyawa yang terkorban baru mahu bertindak.
"Semua yang terlibat mesti disiasat dan ditangkap. Termasuk ibu bapa yang masih melindungi anak mereka,” katanya.
Dalam hantaran sama, Mimi turut mencabar pihak berkuasa untuk mendedahkan identiti pelajar yang disebut oleh Zara serta pihak sekolah yang didakwa gagal bertindak.
“Zara patut hidup tetapi sistem gagal lindungi dia. Sekarang, sistem kena betulkan semula. Tunjukkan muka budak-budak yang dia sebut. Tunjukkan siapa yang biarkan semua ini terjadi,” katanya.
Pelakon itu turut mendoakan agar Zara ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga mangsa diberi ketabahan menghadapi ujian berat tersebut.
Sementara itu, rata-rata warga maya turut menyatakan rasa simpati dan menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku buli.
Seorang pengguna, Snzesham meluahkan kerisauan sebagai ibu terhadap keselamatan anak-anaknya.
“Perkara yang saya paling takut ialah buli. Anak saya baru dua tahun lima bulan, tapi saya dah mula berdoa dari sekarang agar anak-anak saya tak dibuli dan tak membuli,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Ptrinran berharap lebih ramai artis tampil bersuara agar isu ini mendapat perhatian sewajarnya.
“Semoga lebih ramai artis bersuara. Supaya menteri pun buka mata. Sekolah kena bertanggungjawab,” katanya.
Kematian Zara disifatkan sebagai bukti nyata kegagalan sistem dalam menangani isu buli di sekolah.
Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung punca sebenar kejadian, namun siasatan masih dijalankan.
Orang ramai terus menggesa agar kes itu tidak dipandang ringan dan menuntut agar keadilan untuk Zara ditegakkan agar tragedi seumpama ini tidak lagi berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram