
PEGUAM mewakili ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, menafikan tuduhan bahawa kematian pelajar berusia 13 tahun tersebut adalah disebabkan ibunya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, tuduhan terhadap Noraidah Lamat, 45, adalah tidak benar.
Malahan, peguam Noridah juga menganggap tuduhan itu bersifat fitnah.
"Ini adalah satu fitnah jahat kepada anak guam kami. Tidak ada 'plot twist' dalam kes ini.
"Kami menasihatkan netizen agar tidak membuat sebarang fitnah terhadap mana-mana individu berkaitan dengan kematian Zara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Bekas pengetua nafi terbabit kes Zara Qairina, beri sokongan penuh kepada polis
Sehubungan itu, pasukan peguam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya dapat membantu siasatan pihak polis.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis, sila salurkan maklumat itu kepada pihak polis atau kepada kami," katanya.
Dalam kenyataan sama, barisan peguam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua individu dan organisasi yang menularkan kes tersebut demi mencapai keadilan buat Allahyarham Zara Qairina.
"Kami sebagai peguam Noraidah iaitu ibu kepada Allayarham Zara Qairina yang meninggal dunia pada 17 Julai mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib yang menimpa anak guam kami.
"Kematian Zara adalah satu tragedi. Apatah lagi tragedi tersebut berlaku di dalam kawasan asrama sekolah," katanya.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram