
IBU Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah membuat laporan polis kedua berhubung kematian anaknya hampir tiga minggu selepas mangsa ditemui meninggal dunia di asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Noraidah Lamat membuat laporan bagi meminta siasatan lanjut terhadap kesan lebam yang dilihatnya di belakang badan anaknya ketika mayat Zara Qairina dimandikan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Zara Qairina merupakan pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia akibat dipercayai jatuh dari asrama sekolahnya pada 16 Julai.
BACA LAGI: Kes Zara Qairina: Hormati prosedur, bukan cipta naratif awal tanpa siasatan lengkap — Peguam
Laporan tersebut telah dibuat di Balai Polis Sipitang.
Dalam satu kenyataan bersama, peguamnya iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri memberitahu bahawa anak guam mereka melihat sendiri kesan lebam tersebut kerana beliau adalah antara individu yang memandikan jenazah Zara bersama beberapa wanita lain.
"Anak guam kami hanya teringat tentang kesan lebam tersebut apabila kami menyoalnya semalam mengenai keadaan jenazah anaknya ketika beliau memandikannya," kata mereka, sambil menambah bahawa Noraidah terlupa untuk memaklumkan tentang lebam itu kerana ketika itu sedang dalam keadaan berkabung.
Peguam tersebut berkata, bahawa Noraidah percaya kesan lebam yang dilihatnya adalah akibat kecederaan yang berpunca daripada hentakan objek tumpul.
Zara ditemui di tingkat bawah bangunan asrama sekolahnya sekitar pukul 3 pagi pada 16 Julai dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Peguam itu turut merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sabtu (2 Ogos), bahawa siasatan polis berhubung kes tersebut telah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.
"Namun, perkembangan terbaharu ini membuktikan bahawa siasatan kes perlu dibuka semula.
"Jenazah Zara perlu digali semula dan bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian serta sama ada wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematian tersebut," tambah kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, peguam juga merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Noraidah pada 30 Julai berhubung rakaman perbualan telefon antaranya dan mendiang Zara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menyatakan bahawa pihaknya akan menyiasat laporan terbaharu yang dibuat oleh ibu mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram