
PELAKON tanah air, Yana Samsudin meluahkan rasa terkejut dan kecewa berhubung perkembangan terkini kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang masih menimbulkan pelbagai persoalan khususnya berkaitan siasatan pihak berkuasa.
Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 40, memberikan reaksinya melalui media sosial dengan menulis, 'Aiyoooo… serius lah. Macam mana ini' selepas membaca kenyataan media yang dikeluarkan oleh peguam keluarga Zara Qairina iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri pada Ahad.
Menurut peguam, sehingga hari ini pihak polis masih belum mengambil pakaian dan barangan peribadi milik Zara Qairina yang dipakai ketika mangsa ditemui meninggal dunia di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.
BACA LAGI: Teringat kesan lebam anak, ibu Zara Qairina buat laporan polis kedua
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad itu, barangan tersebut kini berada dalam simpanan seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh ibu mangsa sebagai wakil tunggal.
Lebih mengejutkan, mereka mendakwa tiada permintaan rasmi daripada pihak polis untuk mendapatkan barangan berkenaan walaupun ia merupakan bahan bukti penting dalam menentukan sama ada kematian Zara Qairina mempunyai unsur jenayah.
"Kami sangat terkejut dengan perkara di atas kerana sepanjang pengalaman kami melakukan kes-kes perbicaraan jenayah di mahkamah, pihak polis akan merampas semua item yang dipakai oleh seorang mangsa yang disyaki mati akibat apa-apa tindakan jenayah bagi tujuan siasatan.
"Semua pakaian dan barang di atas merupakan bahan bukti penting yang sewajarnya diperiksa dan dianalisis secara forensik bagi menentukan kematian Zara melibatkan unsur-unsur jenayah atau tidak.
"Kegagalan pihak polis berbuat demikian menimbulkan tanda tanya serius sama ada siasatan mereka hanya fokus ke arah mati mengeju bunuh diri sahaja; sedangkan ibu Zara (Noraidah Lamat) telah memfailkan beberapa laporan kes memohon siasatan berkenaan kematian Zara yang mempunyai unsur jenayah," kata peguam itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan berkenaan hadir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kertas siasatan kes tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AG).
Sehubungan itu, peguam keluarga meminta agar kertas siasatan dikembalikan semula kepada pihak polis dan siasatan diluaskan dengan segera termasuk pelaksanaan bedah siasat serta inkues bagi menentukan punca sebenar kematian.
Yana bukan satu-satunya figura awam yang menyuarakan keprihatinan dan mengikuti siasatan kes menyayat hati itu.
Pelbagai pihak termasuk warganet turut mempersoalkan ketelusan siasatan, terutamanya selepas pendedahan wujud kesan lebam pada badan Zara Qairina ketika jenazahnya dimandikan oleh ibu dan ahli keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram