Terima pelanggan rambut berkutu, kusut, salun BFBL tak 'judge', beri khidmat kepada komuniti terpinggir dan gelandangan


  • Bisnes
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Dua graduan BFBL terlatih mendandan rambut salah seorang penghuni Anjung Singgah YKN Kuala Lumpur pada Khamis.

DI tengah hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur, di sebuah sudut kecil Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Jalan Hang Lekiu, tersembunyi sebuah salun istimewa yang bukan sekadar tempat untuk memotong dan mencuci rambut.

Salun Beauty for a Better Life (BFBL) itu menjadi saksi kepada perubahan hidup yang penuh harapan bagi golongan gelandangan dan miskin bandar yang selama ini terpinggir dari perhatian.

Sejak membuka pintunya sebulan lalu, salun tersebut menerima kira-kira enam pelanggan sehari dengan pelbagai latar belakang dan kisah hidup yang berlainan.

BACA LAGI: Kitar botol dapat duit lumayan, Ripple Sabah jana lebih RM28,000 pendapatan komuniti

BACA LAGI: Fasiliti pendidikan autisme bakal dibina di seluruh negara — PM Anwar

Ada yang datang dengan rambut kusut, berkutu, bahkan ada yang berbau, tanda perjalanan hidup yang penuh ranjau di jalanan kota.

Namun, di bawah sentuhan lembut graduan BFBL yang terlatih, mereka bukan sekadar mendapat rawatan rambut, bahkan kembali meraih harga diri dan keyakinan yang selama ini mungkin terpendam.

"Salun BFBL bukan hanya memberikan perkhidmatan cuci dan gunting rambut secara percuma, tetapi tempat di mana mereka yang kurang bernasib baik diberi ruang selamat untuk rasa dihargai dan diterima tanpa kena 'judge' dengan orang,  kata koordinator projek salun yang dikenali sebagai Farah.

Salun BFBL di pusat intervensi sosial di ibu kota itu menawarkan perkhidmatan mencuci dan memotong rambut kepada komuniti miskin bandar dan golongan gelandangan secara percuma.

Premis di Tingkat 2 Anjung Singgah YKN itu dikendalikan oleh graduan program latihan vokasional yang kebanyakannya berasal daripada komuniti berpendapatan rendah di Malaysia.

Dengan ini, mereka bukan sahaja bertukar daripada ‘penerima manfaat’ kepada ‘pemberi manfaat’, sekali gus melengkapkan kitaran pemerkasaan.

Anjung Singgah YKN di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur merupakan pusat intervensi sosial bagi membantu golongan gelandangan.

Menurut Farah, khidmat cucian dan gunting rambut di premis tersebut sudah bermula sebulan lalu dan sambutan yang diterima amat baik.

"Kami sudah menerima 76 pelanggan terdiri daripada komuniti miskin bandar dan gelandangan dari Chow Kit, Lorong Haji Taib dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

"Mereka akan menerima kupon yang boleh ditebus untuk khidmat cuci dan gunting rambut di sini pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis dari pukul 10 pagi hingga 3 petang," katanya sambil memberitahu terdapat enam pelatih program BFBL ditempatkan di situ secara bergilir.

Sementara itu, Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, Tomas Hruska, salun BFBL ialah inisiatif baharu dan pertama seumpamanya di Asia.

Program anjuran Yayasan L'Oréal dengan diterajui L'Oréal Malaysia dan Yayasan Food Bank itu berjaya memperkasakan seramai 249 wanita daripada komuniti terpinggir di Malaysia sejak diperkenalkan pada 2016.

"Setiap lawatan ke salun, setiap kemahiran yang dipelajari dan setiap kehidupan yang berubah akan menjana gelombang impak yang menyokong keluarga, memperkukuh komuniti dan membantu wanita menjalani kehidupan yang bermaruah dan berdikari.

"Bagi mereka yang kurang bernasib baik, sekecil-kecil tindakan seperti memotong rambut boleh membina semula harga diri dan keyakinan, serta menyuntik semangat baharu untuk menghadapi cabaran harian," katanya.

Kira-kira 90 peratus graduan program BFBL terdiri daripada komuniti berpendapatan rendah di negara ini berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh tiga bulan malah ada yang memulakan perniagaan sendiri.

"Seiring perkembangan program BFBL, L’Oréal Malaysia berazam untuk memperkasakan 5,000 individu menjelang tahun 2027," ujarnya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram