
HUJUNG bulan lalu, atau lebih tepat pada 30 Julai, Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah di bawah Akta Pendidikan 1996.
Idea untuk melaksanakan undang-undang itu sememangnya wajar memandangkan generasi akan datang perlu mendapatkan pendidikan mencukupi jika mahu membina sebuah negara maju.
Tetapi, soalan perlu diajukan kepada Kerajaan Madani hari ini, adakah mereka sedar bahawa di sebalik peraturan baharu itu, ibu bapa perlu memikirkan bebanan baharu yang akan dipikul.
BACA LAGI: Ibu bapa berdepan denda RM5,000 atau penjara jika gagal hantar anak bersekolah menengah
BACA LAGI: [VIDEO] Kes buli sekolah TTDI: 4 pelajar digantung, 14 lagi kena amaran — Fadhlina
Pembaca menyatakan anaknya kini sedang menuntut di sebuah sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur.
Harga barangan runcit, kadar rumah sewa dan perbelanjaan harian yang kian meningkat dari tahun ke tahun sudah cukup membebankan walaupun buat kami ibu bapa yang kedua-duanya bekerja tetap.
Lihat sahajalah, perbelanjaan RM50 kadang-kala tidak cukup untuk menampung kos seharian, termasuk bagi seorang cahaya mata yang kini menimba ilmu di sekolah menengah sekitar ibu kota.
Ini tidak lagi ditambah dengan komitmen bulanan, seperti sewa rumah dan pinjaman peribadi yang kadang-kala memakan lebih daripada separuh kutipan gaji suami isteri, termasuk dalam golongan berpendapatan sederhana (M40).
Bagaimana pula rasanya buat pasangan ibu bapa yang perlu memikirkan beban tanggungan bagi dua orang anak atau lebih yang perlu dihantar ke sekolah menengah jika mahu menuruti peraturan baharu itu?
Apatah lagi, pindaan terbaru itu juga disertai amaran keras yang mana kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan kami sebagai ibu bapa didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.
Hukuman ditetapkan Fadhlina terhadap ibu bapa seperti tidak wajar dan hanya membebankan.
Adakah ini satu hukuman wajar ke atas mereka yang tidak bernasib baik? Tidakkah mereka sudah bersungguh-sungguh memastikan anak-anak memperoleh ilmu sepatutnya, cuma tidak berpeluang menghantar cahaya mata ke sekolah menengah.
Keluhan sebegini sepatutnya didengari Kerajaan Madani sebelum membuat sebarang keputusan dengan memastikan ibu bapa tidak dilabel bersikap culas dalam membesarkan anak-anak.
Apakah tidak boleh sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) terlebih dahulu menghapuskan struktur bayaran seperti yuran buku teks, yuran aktiviti persekolahan dan lain-lain lagi.
Jika sukar permintaan itu dipenuhi, cukuplah sekiranya kadar ditetapkan itu dikurangkan dengan harapan golongan ibu bapa tidak berkemampuan dapat memberikan pendidikan sewajarnya untuk anak-anak mereka.
Harapnya, suara seorang insan kecil yang masih lagi belajar menjadi ibu bapa ini dapat didengari KPM dan Fadhlina Sidek agar dapat memikir lebih mendalam supaya sekurang-sekurangnya tidak lagi membebankan orang ramai. — Majoriti
Kadir Hashim merupakan seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram