Rata-rata pengguna lega, bil elektrik turun selepas penstrukturan tarif


  • Massa
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Penstrukturan tarif elektrik ringankan beban pengguna. — Gambar hiasan

WALAUPUN terdapat kebimbangan mengenai peningkatan bil elektrik susulan penyusunan semula tarif baru-baru ini, ramai pengguna di seluruh negara melaporkan penurunan ketara dalam bil bulanan mereka meskipun kadar penggunaan kekal sama.

Di Lembah Klang, eksekutif perniagaan, J. Chandran, 32, berkata, bil elektrik bagi bulan Julai hanya sekitar RM60, walaupun penggunaan pendingin hawa meningkat berikutan cuaca panas.

“Saya kerap menggunakannya pada waktu malam dan hujung minggu. Saya sangka bil akan naik, tetapi ternyata lebih rendah daripada jangkaan,” katanya sambil menambah bahawa beliau tetap berhati-hati bagi mengelakkan peningkatan mendadak pada masa akan datang.

BACA LAGI: 'Jangan harap lebih, top 5 sudah cukup gah untuk reputasi Eddy Gapil, Elavarasan'

BACA LAGI: Graduan perguruan tolak penempatan pertama boleh dikenakan tindakan disiplin — Fadhlina

Di Balik Pulau, Pulau Pinang, ibu tunggal Suzana Mat, 46, turut meluahkan rasa lega apabila bil elektrik rumahnya menurun hampir 50 peratus berbanding bulan Jun.

“Sebelum ini, bil sekitar RM180 hingga RM200 sebulan, terutamanya kerana penggunaan penghawa dingin pada waktu malam.

“Tetapi bulan ini hanya sekitar RM100. Ia sangat membantu, kerana baki wang boleh digunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan sekolah anak-anak,” kata Suzana yang tinggal bersama ibunya dan lima anak yang masih bersekolah di Gertak Sanggul.

Pesara, Badiah Ahmad, 68, juga menikmati pengurangan besar dalam bil bulanan.

“Bil bulan Jun saya RM118, tetapi untuk penggunaan 19 hari bulan lalu, hanya RM59. Struktur tarif baharu ini sangat meringankan beban golongan berpendapatan tetap seperti saya.

“Pada usia begini, setiap ringgit sangat bermakna. Saya berharap kadar ini kekal dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Penstrukturan tarif elektrik ringankan beban pengguna.  Gambar hiasan

Tinjauan ke beberapa hotel pula mendapati sesetengah masih belum menerima bil elektrik mengikut kitaran baharu.

Pengurus Besar Prestige Hotel, Melvin Ooi, memaklumkan bahawa jawatankuasa penjimatan tenaga hotel berkenaan sedang giat mengawal penggunaan tenaga bagi operasi harian.

Sementara itu di Johor, seorang kontraktor, Zipo A. Aziz, 51, berkata, bil elektrik rumahnya juga menurun.

“Saya tak faham kenapa orang panik. Saya baru terima bil elektrik – hanya RM35.72 berbanding RM49.57 bulan lepas, sedangkan penggunaan masih di bawah 600kWh,” katanya.

Di Negeri Sembilan, pengendali pusat jagaan Vivekananda Home di Rembau, Ramesh Patel berkata, langkah penjimatan yang diambil selepas mendengar mengenai pelarasan tarif telah memberi hasil positif.

“Bil bulan April RM877, Mei RM839 dan selepas kami berjimat, ia turun ke RM706 pada Jun dan kini RM677.

“Kami cuba kurangkan bil dengan menyeterika pakaian sekali gus dan meminimumkan penggunaan lampu,” katanya.

Menurutnya, nasihat daripada kakitangan Tenaga Nasional turut membantu, termasuk melakukan kerja rumah seperti membasuh dan menyeterika pada waktu luar puncak.

“Kami akan teruskan langkah ini memandangkan pusat ini bergantung kepada sumbangan orang awam,” katanya lagi.

Namun begitu, tidak semua mengalami penurunan bil. Di Seremban, Setiausaha Rumah Warga Emas Tong Sim, Jessie Chan memaklumkan bahawa bil elektrik bulan Julai sedikit meningkat kepada RM328 berbanding purata RM300 dalam enam bulan pertama tahun ini.

“Kami telah meminta penghuni berjimat cermat dalam penggunaan elektrik untuk mengawal kos,” katanya. — The Star/SARBAN SINGH/GERARD GIMINO/IMRAN HILMY/ MYSARA FAUZI/ ANNABELLE LAWRENCE/RAGANANTHINI VETHASALAM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram