
MALANG tidak berbau. Itulah ungkapan paling sesuai untuk menceritakan situasi apabila seseorang mengalami kepayahan meskipun sudah sedaya upaya mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Itulah apa yang dialami seorang wanita yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan dalam satu insiden berlaku di Stadium Darul Aman, Kedah dengan perkara tersebut sempat dirakam.
Insiden itu dikongsikan pengguna TikTok, Vinx 99999 memaparkan seorang wanita sedang berjalan dengan telefon pintar di tangannya sebelum terjatuh.
BACA LAGI: Loji IWK Pantai Dalam lokasi harapan terakhir temukan mangsa terjerumus lubang Masjid India
BACA LAGI: Lubang jerlus Masjid India: pasar malam Lorong TAR ditutup serta-merta
Difahamkan, kejadian berlaku selepas wanita berkenaan berjalan di atas lubang kumbahan terbabit yang hanya ditutupi papan kadbod berbanding pelitup besi seperti mana sepatutnya dipasang Jabatan Kerja Raya (JKR).
Perkara tersebut kemudian disedari dua orang lelaki yang berada di lokasi kejadian, termasuk seorang yang memakai baju biru dipercayai kenalan mangsa kerana kedua-dua mereka sempat bertegur sebelum insiden itu berlaku.
Tinjauan di ruangan komen mendapati wanita terbabit tidak mengalami kecederaan serius dengan hanya beberapa kesan lebam kelihatan seperti mana dinyatakan abangnya di ruangan komen.
Dalam hantaran berbeza, pengguna TikTok itu turut menceritakan insiden tersebut secara lebih mendalam dengan menceritakan bagaimana insiden tersebut boleh menimpa siapa-siapa sahaja yang tidak bernasib baik.
"Itu rakaman dari kamera papan pemuka kereta (dashcam) saya. Mangsa itu tidak leka dengan telefon bimbit, sebelah lagi tangannya memegang botol air (tumbler). Saya ada di sana, yang memakai baju putih itu.
Lubang tersebut kemudian diletakkan kerusi bagi mengelak mangsa lain mengalami nasib sedemikian.
"Dia sendiri tidak sangka, pelapit yang dipijak itu rapuh dan reput. Kerusi di lubang kumbahan itu saya yang letak selepas mangsa terjatuh. Lubang itu memang dalam, individu dewasa berketinggian 1.7 meter ke atas boleh lesap," katanya.
Rakaman tersebut kemudian dikongsikan berkali-kali di media sosial dengan orang ramai meminta agar penduduk sekitar segera memaklumkan hal berkenaan kepada pihak berkuasa.
Ini bagi memastikan tiada lagi insiden sedemikian berulang, lebih-lebih lagi melibatkan kalangan kanak-kanak yang boleh mengalami kecederaan lebih serius.
"Takkan tiada mana-mana pihak yang buat aduan berkenaan lubang itu. Tolonglah cakna rakyat setempat, sila hubungi pihak berkenaan supaya ada penambahbaikan," kata Ajue Kaer.
"Mujur ada orang ternampak. Kalau tidak, dah boleh jadi kes orang hilang, jenuh lah nak mencari. Bahaya betul, boleh saman majlis bandaraya kali kes sebegini," kata Rohani Saad Ani Roshdi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram