PASAR malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan ditutup pada Sabtu bagi memberi laluan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India dan pemeriksaan tanah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pemeriksaan tanah akan dijalankan di sekitar Lorong TAR dan Masjid India bagi mengenal pasti lokasi dan keselamatan jalan raya di sekitar kawasan lubang benam itu.
DBKL berkata, penutupan itu adalah untuk memastikan keselamatan orang ramai dan perniagaan.
BACA LAGI: Loji IWK Pantai Dalam lokasi harapan terakhir temukan mangsa terjerumus lubang Masjid India
BACA LAGI: PM Anwar arah DBKL jumpa keluarga mangsa terjerumus lubang gergasi dekat Masjid India
Operasi yang dijalankan bagi mencari mangsa yang terjerumus dalam lubang ekoran tanah mendap.
"Kegagalan mematuhi arahan akan menyebabkan tindakan tegas terhadap perniagaan," kata DBKL.
DBKL juga berkata, radar penembusan tanah (GPR) akan digunakan dalam pencarian pada Jumaat, yang akan diteruskan sehingga malam, manakala Indah Water Konsortium menggunakan proses jet dan rod untuk membersihkan halangan di saluran pembetung.
Menurut DBKL, keadaan di lokasi pencarian terkawal dan orang ramai memberi kerjasama yang baik dengan tidak memasuki kawasan larangan.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita, pelancong India dikenali sebagai G Vijayalakshmi, 48, terjatuh ke dalam lubang benam ketika dia berjalan di sepanjang Jalan Masjid India ke kuil berhampiran pada pagi Jumaat lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram