Bukan sekadar eksperimen media sosial, ‘Turmeric Light Trick’ boleh ancam kesihatan jika tak dikendalikan dengan betul


  • Sihat
  • Isnin, 30 Jun 2025

Turmeric Light Trick kini semakin tular di media sosial, khususnya di platform TikTok dan Instagram. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

SATU trend baharu dikenali sebagai 'Turmeric Light Trick' atau eksperimen cahaya kunyit kini semakin tular di media sosial, khususnya di platform TikTok dan Instagram apabila ramai pengguna berkongsi video eksperimen mereka menghasilkan cahaya neon menggunakan serbuk kunyit.

Eksperimen tersebut pada mulanya hanya mencampurkan serbuk kunyit dan air, namun ada yang lebih ekstrem dengan mencampurkan serbuk kunyit bersama bahan kimia tertentu seperti peluntur, sabun pencuci atau pelarut isi rumah untuk mendapatkan kesan yang lebih gempak. 

Campuran tersebut kemudiannya didedahkan kepada cahaya ultraviolet (UV) yang menghasilkan kesan cahaya kekuningan menyala sekali gus mencetuskan fenomena visual menarik yang mudah menarik perhatian.

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik tragedi Juliana Marins, pendaki wanita Malaysia rupanya turut membantu misi SAR guna dron

BACA LAGI: Ketagihan kuasa, anggap pembantu rumah 'barang kerja' punca majikan jadi kaki dera — Pakar

Walaupun kelihatan menyeronokkan dan kreatif, trend ini mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar keselamatan dan kesihatan, memandangkan bahan kimia yang digunakan boleh mendatangkan risiko jika tidak dikendalikan dengan betul.

 

 

 

Ketiadaan panduan keselamatan serta percubaan secara sembarangan di rumah boleh mengundang bahaya kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan remaja.

Terbaharu, memetik laporan media antarabangsa, Turkiye Today, pihak berkuasa Mesir mengeluarkan amaran serius berhubung trend yang tular di media sosial itu kerana didapati bukan sahaja berisiko kepada kesihatan awam, malah mengancam keselamatan alam sekitar.

Trend yang sedang hangat di TikTok dan Instagram itu menunjukkan pengguna mencampurkan serbuk kunyit dengan bahan kimia tertentu untuk menghasilkan kesan cahaya neon apabila terdedah kepada sinaran ultraviolet.

Walaupun hasilnya kelihatan menarik dan menghiburkan, eksperimen itu sebenarnya melibatkan tindak balas bahan menghakis dan toksik termasuk bahan kimia gred industri yang tidak sesuai digunakan di rumah.

Boleh mencemarkan sistem air

Campuran bahan kimia Turmeric Light Trick  yang tidak dilupuskan dengan betul  boleh menyebabkan bahan berbahaya masuk ke dalam sistem air perbandaran. — Gambar Hiasan

Malah, Kementerian Alam Sekitar Mesir turut memberi peringatan bahawa trend tersebut mampu mencemarkan sistem bekalan air serta menjejaskan operasi loji rawatan kumbahan.

Campuran kimia yang tidak dilupuskan dengan betul lazimnya dibuang ke dalam sinki atau saluran air rumah sehingga boleh menyebabkan bahan berbahaya masuk ke dalam sistem air utama.

Menurut kenyataan itu, amalan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri memberi kesan jangka panjang terhadap kualiti air.

Masalah kesihatan kulit

Walaupun kelihatan menyeronokkan dan kreatif, trend 'Turmeric Light Trick'  mempunyai risiko bahaya yang tersembunyi terhadap kesihatan. — Gambar Hiasan/ Janaan Ai

Sementara itu, pakar kesihatan dan keselamatan yang ditemu bual Al Jazeera turut memberi amaran keras, apabila ada pengguna yang cuba meniru trend berkenaan melaporkan mengalami iritasi kulit dan simptom pernafasan.

Para pakar menjelaskan bahawa tindak balas antara bahan kimia yang tidak diketahui boleh menghasilkan asap beracun serta sisa berbahaya, khususnya jika dilakukan tanpa sebarang pengetahuan saintifik.

Lebih membimbangkan, kandungan seperti itu turut terlepas daripada sistem penapisan di platform media sosial lalu mendorong ramai pengguna termasuk golongan remaja dan kanak-kanak yang menirunya tanpa menyedari risiko sebenar.

Eksperimen yang berisiko

Apa yang bermula sebagai eksperimen sains kelihatan menyeronokkan, kini berubah menjadi ancaman terhadap kesihatan awam dan pencemaran alam sekitar.

Sehubungan itu, ibu bapa, guru dan pempengaruh media sosial memainkan peranan dalam mendidik serta mempromosikan kandungan yang lebih bertanggungjawab terutamanya jika melibatkan bahan kimia atau eksperimen berisiko. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram