
BEKAS pengetua salah sebuah sekolah agama di Sabah menafikan penglibatannya dalam kes kematian melibatkan pelajar bernama Zara Qairina Mahathir.
Rosnih Nasir, terpaksa bersuara untuk menafikan segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya berkenaan kes tersebut yang mendapat perhatian seluruh negara.
Dia juga berharap yang siasatan terperinci akan dilakukan oleh pihak polis bagi mendapatkan kebenaran.
BACA LAGI: Kongsi kronologi kes Zara Qairana, individu rapat kes kematian pelajar di Papar harap siasatan telus
Dalam kenyataan dikeluarkan di media sosialnya, Rosnih mengatakan dia tidak lagi menjadi pengetua sekolah itu sejak 2024.
"Saya terpanggil untuk memberikan penjelasan berhubung fitnah dan kekeliruan yang sedang tular di media sosial melibatkan nama saya dalam insiden menyayat hati melibatkan Zara Qairina Mahathir.
"Untuk makluman semua, saya hanya berkhidmat sebagai pengetua sekolah dari 20 Mac hingga 22 November 2024. Selepas itu, saya bersara dan tidak lagi terlibat dalam pentadbiran sekolah.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan saya secara langsung atau tidak langsung dalam perisitiwa tragik yang berlaku baru-baru ini. Perkara ini amat menyedihkan saya sebagai ibu dan juga seorang pendidik.
"Saya menyatakan sokongan penuh kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh mengenai kes ini. Saya percaya kebenaran akan terserlah apabila siasatan selesai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram