
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menyangkal dakwaan bahawa pihaknya berdiam diri berhubung isu buli dihadapi arwah Zara Qairina Mahathir yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga meninggal dunia di sekolah agama sekitar Papar, Sabah.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, Fadhlina mengharapkan tuduhan sebegitu tidak lagi dikongsikan kerana Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam membantu keluarga mangsa.
"Saya menziarahi keluarga di hospital di Kota Kinabalu pada 17 Julai. Saya pastikan semua keperluan keluarga dipenuhi. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga diarah untuk menyalurkan bantuan segera.
BACA LAGI: Bekas pengetua nafi terbabit kes Zara Qairina, beri sokongan penuh kepada polis
"Pada 18 Julai, saya keluarkan kenyataan berkenaan kejadian ini dan menyatakan komitmen kementerian untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan pihak polis," tulisnya.
Tohmahan terhadap JPN Sabah dan KPM sememangnya disaksikan sejak kes kematian Zara Qairina tular di media sosial apabila orang ramai tidak henti-henti mempersoalkan ketegasan pihak bertanggungjawab.
Ini kerana tiada sebarang tangkapan dibuat selepas 13 hari pelajar Tingkatan 1 itu menghembuskan nafas terakhir selepas menjadi mangsa buli di sekolah tersebut.
Fadhlina turut menjelaskan siasatan tersebut merupakan tumpuan utama KPM ketika ini dengan JPN Sabah sedia menyalurkan bantuan terbaik buat keluarga.
"Beberapa siri ziarah cakna dilakukan JPN Sabah ke atas keluarga. Intervensi krisis dan trauma turut dilaksanakan untuk murid, guru dan warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan terpelihara.
Zara ditemukan berhampiran sebuah longkang berdekatan asrama perempuan di sekolah tersebut.
"Saya nyatakan pendirian tegas KPM untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan pihak polis," katanya lagi.
Pada 16 Julai lalu, Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan dengan tiada jeritan, saksi dan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, Sabah untuk rawatan lanjut, namun laporan menyatakan kecederaan dalaman sangat serius.
Waris turut dimaklumkan Zara berada dalam keadaan koma dengan kaki dan tangan patah sebelum membuat keputusan menghentikan bantuan alat pernafasan selepas tiada lagi fungsi otak dikesan.
Kes tersebut kemudian tular di media sosial dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram