[VIDEO] Suspek tikam polis di Jalan Pudu dicekup bersama serbuk dan ketulan kekuningan


  • 112
  • Khamis, 31 Jul 2025

Gambar tular memaparkan anggota polis cedera ditikam suspek di Jalan Pudu pada Khamis.

SEORANG anggota polis cedera parah selepas ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang lelaki ketika menjalankan pemeriksaan di Pasar Pudu, Jalan Yew, Kuala Lumpur pada Khamis. 

Anggota yang bertugas di Balai Polis Pudu berkenaan dilaporkan sedang menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Polis Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.55 tengah hari ketika mangsa bersama empat anggota lain sedang memeriksa seorang suspek.

BACA LAGI: Mayat budak 6 tahun ditanam dalam belukar, polis rampas cangkul digunakan bapa

BACA LAGI: Bekas pengetua nafi terbabit kes Zara Qairina, beri sokongan penuh kepada polis

“Suspek bertindak agresif dan telah menikam anggota polis terbabit di bahagian perut sebelum melarikan diri. Mangsa yang cedera parah telah segera dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Suspek, seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 56 tahun, berjaya diberkas oleh pasukan polis tidak lama selepas kejadian untuk membantu siasatan.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan sebilah pisau sepanjang kira-kira 21.5 sentimeter serta tiga paket plastik lutsinar yang mengandungi serbuk dan ketulan berwarna kekuningan disyaki dadah.

“Suspek akan direman bermula 1 Ogos bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh menggunakan senjata dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Firdaus Sharil di talian 012-338 8164 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram