
TINDAKAN seorang murid tingkatan dua yang menumbuk gurunya hanya kerana ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Kajang, Selangor mencetus kejutan kerana hal sebegitu tidak sepatutnya berlaku.
Masing-masing beranggapan sikap pelajar hari ini semakin sukar untuk dibentuk kerana peraturan terbaru menyatakan tiada sebarang hukuman sama ada berbentuk fizikal mahupun emosi boleh diberikan.
Insiden tersebut menunjukkan ketetapan sedemikian tidak lagi relevan kerana pihak pendidik perlu diberikan kuasa semula dalam usaha membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.
BACA LAGI: 'Terkilan cikgu tiada timbang rasa', ibu kecewa anak diberhentikan taska tanpa sebarang surat amaran
Namun, di sebalik desakan terbabit, timbul pula perasaan hormat apabila guru yang terlibat dalam kes di sekolah berkenaan masih dapat mengawal diri daripada melakukan tindakan di luar kawalan terhadap pelajar itu.
Meskipun kelihatan cikgu terbabit memegang kolar baju pelajar berkenaan, namun tindakan sebegitu tidak menggambarkan dia bertindak kasar selepas menjadi mangsa pukul semasa melaksanakan tanggungjawabnya sebagai tenaga pendidik.
Dalam insiden di Kajang itu, guru terlibat yang dikenali ramai sebagai Cikgu Wan Anwar sebenarnya hanya terlibat kerana berada di lokasi terbabit selepas rakan guru lain terlebih dahulu dimarahi kerana melakukan tindakan sama, iaitu menegur pelajar terlibat yang ponteng kelas.
Hal itu dikongsikan pengguna Facebook, Rah Fird yang memperkenalkan diri selaku abang kepada Cikgu Wan Anwar yang mengharapkan pihak berkuasa supaya menyiasat kes itu secara terperinci.
“Ini adalah cikgu yang kena tumbuk dengan anak murid dia. Dia hanya bantu cikgu lain yang dimarahi anak murid, padahal murid itu yang ponteng kelas.
"Kami harap hukuman yang bersesuaian dan setimpal kepada murid tersebut. Murid tersebut masih muda, masih ada lagi ruang untuk menabur jasa kepada orang lain," katanya.
Jelasnya, Cikgu Wan Anwar masih berstatus guru sementara dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan selama lebih empat tahun selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selain itu, dia juga aktif dalam dunia sukan kerana pernah bergelar atlet boling negeri Johor yang beraksi di pentas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (SUKMA).
Kesabaran ditunjukkan dalam video tular itu sememangnya wajar menjadi contoh, malahan abangnya berharap tindakan adiknya dapat menjadi teladan buat semua.
“Kepada Cikgu Wan Anwar, teruskan menjadi contoh yang baik kepada semua murid dan rakyat Malaysia. Jangan putus asa dengan apa yang terjadi. Semangat dan sokongan semua dari keluarga akan terus bersama adik, insya-ALLAH," tulisnya.
Berdasarkan perkembangan terkini, pelajar tersebut sudah mengaku bersalah selepas menumbuk guru berkenaan dengan keputusan mahkamah hanya akan diberikan pada 11 September, iaitu selepas memperoleh laporan tingkah laku daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram