
SUASANA tenang solat Jumaat di Masjid Felda Lembah Klau, Raub, Pahang bertukar hiba apabila imam masjid berkenaan rebah secara tiba-tiba ketika sedang mengetuai solat jemaah, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kejadian menyayat hati itu berlaku pada Jumaat dan tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 25 saat memaparkan detik-detik terakhir kejadian berkenaan.
Berdasarkan perkongsian di Facebook, Allahyarham dikenali sebagai Tengku Badri Tengku Jaafar namun identiti sebenar masih belum dimaklumkan pihak berkuasa.
Dalam rakaman itu, Allahyarham yang merupakan Imam 2 Masjid Felda Lembah Klau dilihat tiba-tiba rebah ke lantai ketika mengimamkan solat Jumaat.
BACA LAGI: [VIDEO] Ditegur jarang masuk kelas, guru mengamuk tumbuk cermin dalam kelas
BACA LAGI: Polis siasat punca sebenar kematian pelajar asrama perempuan di Papar
Kelihatan salah seorang jemaah yang berada di belakang segera mendapatkan Allahyarham, namun difahamkan arwah tidak dapat diselamatkan.
Khabar duka pemergian Allahyarham dikongsikan oleh Menang Kuala Krau, melalui satu hantaran Facebook pada hari yang sama.
"Imam masjid Lembah Klau meninggal dunia, rebah masa solat Jumaat," katanya.
Kejadian itu mengundang rasa pilu dalam kalangan warga maya, dengan ramai meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap pemergian Allahyarham.
Malah, ada yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kematian yang dicemburui, apabila meninggal dunia dalam keadaan sedang beribadah di rumah ALLAH, di hadapan para jemaah.
Setakat ini, belum ada maklumat lanjut berkenaan punca sebenar kematian Allahyarham daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram