[VIDEO] Polis tahan 6 suspek terlibat gaduh bola sepak di Kota Belud


  • Kes
  • Isnin, 21 Jul 2025

Semua yang ditahan dalam kejadian itu berada dalam lingkungan usia antara 24 ke 42 tahun.

TULAR di media sosial sejak Ahad memaparkan sekumpulan individu terlibat dalam pergaduhan dipercayai berlaku dalam sebuah aksi bola sepak di Kota Belud, Sabah.

Dalam video pendek itu, kelihatan beberapa lelaki saling tumbuk-menumbuk dengan kekecohan itu menyebabkan sebuah khemah biru yang didirikan di tepi padang tumbang.

Namun, tidak dapat dipastikan punca kejadian dan kerugian dialami pihak penganjur yang pasti kesal atas sikap individu terlibat kerana gagal mengawal emosi.

BACA LAGI: Budak 11 tahun tahan sakit kaki tertusuk besi rim basikal di Kota Belud

BACA LAGI: [VIDEO] Sempat lihat anak terkapai-kapai dalam sungai di Kota Belud, remaja perempuan ditemukan lemas

Berdasarkan perkembangan terbaru, pihak polis sudah menahan enam lelaki yang terlibat bagi membantu siasatan dengan semua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.30 petang Ahad dengan semuanya ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

"Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku ketika berlangsung satu perlawanan bola sepak di padang berkenaan, membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.

"Susulan itu, enam lelaki sudah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya pada Isnin seperti mana dilaporkan Daily Express.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Christina Edris di talian 014-3574148 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram