[VIDEO] ‘Macam baru semalam berbalas WhatsApp’, polis korban nahas kemalangan di Iskandar Puteri berhasrat kembali bertugas di Sarawak


  • Kes
  • Selasa, 29 Jul 2025

Mangsa meninggal dunia selepas kereta dipandunya dilanggar kereta lain yang secara tiba-tiba membelok.

SEORANG anggota polis wanita berusia 37 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer (KM) 28 Jalan Gelang Patah-Pendas, Johor pada Selasa.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa, Koperal Fairuzfadila Musa sedang memandu keretanya dari Gelang Patah ke tempat kerja ketika kemalangan itu berlaku.

"Siasatan awal mendapati kereta kelabu yang dipandu dari arah bertentangan secara tiba-tiba membelok ke kiri di persimpangan dan melanggar lampu merah sebelum mengakibatkan kemalangan," katanya.

BACA LAGI: Rantai besi disyaki punca lelaki warga emas maut 'ditarik' mesin MRI

BACA LAGI: [VIDEO] Pemain golf tumbang di Bukit Unggul, meninggal dunia akibat strok haba

Jelas Kumarasan, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan disebabkan insiden tersebut dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, anggota polis wanita itu mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan. Pemandu lain yang merupakan turut mengalami kecederaan kepala serta dada dan masih belum menyedarkan diri," katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kematian disebabkan pemanduan cuai dan membahayakan.

Dalam sebuah hantaran di Facebook Polis Johor, Datuk M Kumar Muthuvelu yang merupakan ketua polis negeri serta isterinya, Datin SP Shanthi menzahirkan salam takziah buat keluarga mangsa.

"Kontinjen Johor mengucapkan salam takziah buat keluarga arwah Koperal Fairuzfadila Musa yang bertugas di Balai Polis Taman Universiti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara yang telah kembali ke rahmatullah pada 29 Julai," tulisnya.

Berita pilu itu menerima respons pelbagai pihak, termasuk seorang pengguna Facebook, Ziell Salle yang difahamkan kenalan mangsa yang sukar mempercayai pemergian anggota polis terbabit.

"Semasa dalam perjalanan pulang dari kerja, saya orang pertama yang terima panggilan dari keluarga memberitahu Fai sudah pergi. Ya ALLAH, macam baru semalam berbalas WhatsApp.

"Fai ada kata nak kerja semula di Sarawak. ALLAH sayangkan Fai, bekas polis trafik Sibu dan kami semua sayangkan Fai. Seorang yang baik dan walaupun masih muda, Fai lebih matang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram