
USAHA diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penyelesaian konflik Thailand dan Kemboja dianggap bukan satu kegagalan mutlak kepada Malaysia seandainya persengkataan antara Thailand dan Kemboja terus berpanjangan.
Apa yang diusahakan oleh Anwar dalam rundingan itu adalah satu bentuk pendekatan dua hala untuk menghentikan pertelagahan tersebut, namun ia bukan jaminan mutlak konflik berkenaan ditamatkan serta-merta dalam sekelip mata.
Penegasan itu dibuat oleh Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban, Shahidah Abdul Razak yang menyifatkan Anwar sudah mengambil pendekatan pragmatik, inklusif dan berteraskan kepercayaan regional ke arah usaha terbabit.
BACA LAGI: Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata
BACA LAGI: Malaysia 'in driver's seat', bijak manfaat kuasa besar, tidak tunduk tekanan Trump
Shahidah berkata, ketidaksinambungan keamanan bukan alasan untuk menyalahkan sepenuhnya Malaysia sebagai mediator atau pemudah cara dalam konflik serantau.
Perdana Menteri dilihat menggunakan tiga kekuatan utama beliau iaitu ketokohan peribadi, platform Asean dan pengalaman Malaysia sebagai mediator neutral hingga mampu mencapai persefahaman bagi melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat untuk menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
"Kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Asean 2025 memberi Malaysia mandat moral dan politik untuk bertindak.
"Jika konflik terus berlanjutan walaupun usaha rundingan dilakukan, ia bukan kegagalan mutlak Malaysia atau Anwar, tetapi mungkin mencerminkan kelemahan mekanisme penguatkuasaan Asean yang tidak mempunyai kuasa ketenteraan.
"Ia juga mungkin menunjukkan kegagalan kedua-dua pihak bertelagah dalam menghormati komitmen gencatan senjata yang telah dirunding," katanya kepada Majoriti.
Anggota tentera Thailand (seragam hitam) mengiringi murid sekolah Kemboja yang dibenarkan melintas di Pos Pemeriksaan Sempadan Antarabangsa Ban Khlong Luek yang terletak di daerah Aranyaprathet, wilayah Sa Kaeo, Thailand pada 24 Jun 2025. — Agensi
Mengulas lanjut, Shahidah berkata, ketidaksinambungan keamanan bukan alasan untuk menyalahkan sepenuhnya Malaysia sebagai mediator atau pemudah cara dalam konflik serantau.
Katanya, dalam sejarah dunia, banyak rundingan damai mengambil masa bertahun untuk berjaya misalnya proses Oslo (Israel-Palestin) atau damai Aceh (Indonesia-GAM).
"Di sini perlu diihat apakah usaha selepas rundingan? Adakah Anwar terus mengusahakan diplomasi susulan, menghantar pasukan pemantau, menyusun perjanjian damai bertulis?
"Usaha dan kerangka damai ini tetap menjadi batu asas untuk fasa seterusnya," jelas Shahidah.
Beliau berkata, ketika ini, tindakan Anwar mempertimbangkan menghantar pasukan peninjau bagi memastikan zon konflik kembali reda disifatkan strategik dan berpandangan jauh.
"Tindakan ini bagi mengesahkan kepatuhan gencatan senjata, membina keyakinan antara pihak bertelagah selain menjadi 'mata dan telinga' Asean di lapangan tanpa mencampuri urusan ketenteraan.
"Malaysia sebelum ini pernah menghantar pasukan peninjau di Selatan Filipina (International Monitoring Team) selama lebih 10 tahun dan ia berjaya membantu memastikan proses damai berjalan dengan baik," jelasnya.
Ketokohan peribadi Anwar wajar dipuji memandangkan beliau dikenali sebagai pemimpin disegani di peringkat antarabangsa. — IZZUDDIN ABD RADZAK/ PMO
Shahidah menegaskan, buat masa ini, masyarakat perlu melihat usaha Anwar selaku Pengerusi Asean bukanlah tanda Malaysia tunduk kepada tekanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan isu tarif terhadap Kemboja dan Thailand.
Menurutnya, pujian Trump terhadap kepimpinan Anwar merupakan pengiktirafan terhadap pendekatan diplomasi Malaysia yang berkecuali dan berprinsip dan tidak wajar dilihat sebagai tanda tunduk kepada tekanan kuasa besar.
"Perdana Menteri mengekalkan pendirian dasar luar yang tidak berpihak (non-aligned), selaras dengan prinsip kedaulatan negara, penyelesaian aman dan sokongan terhadap Asean Centrality.
"Anwar tidak bergantung kepada Washington atau Beijing, tetapi kepada prinsip keadilan global dan penyelesaian melalui dialog," katanya.
Anwar (tengah) mengambil pendekatan pragmatik, inklusif dan berteraskan kepercayaan regional ke arah usaha rundingan konflik Thai-Kemboja. — IZZUDDIN ABD RADZAK/ PMO
Bahkan, ujarnya, ketokohan peribadi Anwar wajar dipuji memandangkan beliau dikenali sebagai pemimpin yang disegani di peringkat antarabangsa kerana konsistensi dalam menolak kezaliman dan menyokong diplomasi.
"Beliau juga memiliki hubungan diplomatik baik dengan pemimpin Asean serta kuasa-kuasa besar dunia dan memanfaatkan platform Asean secara aktif termasuk menggerakkan mekanisme damai rantau ini seperti Asean Troika dan Protokol TAC (Treaty of Amity and Cooperation) sebagai jalan rundingan yang mewujudkan suasana damai tanpa ketenteraan di samping meyakinkan pihak-pihak berkepentingan.
"Sikap neutral dan tiada kepentingan langsung dalam konflik Kemboja–Thailand menjadikan Malaysia sebagai pilihan logik dan ideal untuk menjadi perantara.
“Jika perdamaian berjaya dicapai, Malaysia akan dikenang sebagai pelopor keamanan moden Asean. Jika belum, usaha ini tetap menjadi asas penting bagi fasa rundingan seterusnya,” ujarnya.
Pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam bagi memberi laluan rundingan damai yang berlangsung di Putrajaya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi Asean dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram