
PENYANYI terkenal Adira Suhaimi meluahkan rasa sedih dan trauma apabila membaca kes kematian pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai menjadi mangsa buli hingga terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Menurut Adira, sebagai ibu, kes seumpama itu memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
“Itulah… apabila melibatkan anak-anak, saya automatik jadi trauma nak baca. Apatah lagi kalau kes macam ni, tak kisahlah jadi dekat mana-mana pun, kita kena bela nasib mangsa terutama bagi pihak keluarga. Kena cari siapa yang terlibat dan tuntut keadilan,” katanya kepada Majoriti.
Bicara ibu kepada empat cahaya mata itu, kejadian sebegitu pasti membuatkan para ibu bapa menjadi bimbang terutama apabila anak-anak tidak berada di depan mata.
“Of course risau… bukan saya sorang saja, semua ibu pasti rasa benda sama.
"Setiap kali anak keluar pergi sekolah, mesti ada perasaan bimbang. Sebab itu saya hari-hari bertanya mereka (anak), bagaimana sesi persekolahan,” jelas wanita kelahiran Ranau, Sabah itu lagi.
Bagi Adira, peranan ibu bapa sangat penting dalam mencegah kes buli daripada berlaku sama ada anak menjadi pembuli atau mangsa.
“Ibu bapa kena selalu pantau. Kena tanya anak, kena ambil tahu pergaulan mereka. Kita pun kena ajar anak jangan buat jahat kepada orang. Jangan jadi pembuli. Tapi dalam masa sama, jangan biarkan diri dibuli," katanya.
Adira turut menekankan pentingnya anak-anak bijak memilih rakan dan mendengar naluri sendiri apabila berasa tidak selesa dalam sesuatu hubungan sosial.
“Kadang-kadang kita ada instinct apabila kawan tu tak baik… kalau dah rasa tak sedap hati, jauhkan diri," katanya.
Adira juga beranggapan terdapat cabaran bagi ibu bapa apabila anak-anak tinggal di asrama seperti kes Zara Qairina.
“Kalau tinggal di rumah senang kita nak pantau. Tapi macam kes yang jadi ni, anak duduk asrama… tak boleh pegang telefon, susah nak tahu keadaan sebenar. Kalau boleh, selalu call bila ada peluang, tanya keadaan anak," katanya.
Walaupun begitu, Adira berkata, beliau sedar had komunikasi yang wujud dalam peraturan asrama menjadikan pemantauan anak-anak lebih sukar.
Dalam pada itu, Adira menyifatkan warden dan pihak sekolah sebagai 'ibu bapa kedua' yang perlu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pelajar.
“Kalau ibu bapa jauh, anak-anak memang bergantung kepada warden dan guru. Jadi mereka kena mainkan peranan, pantau pelajar, ambil tahu pergaulan mereka. Kena rajin turun padang, tengok asrama macam mana. Mungkin boleh buat perhimpunan mingguan ke, sesi luahan ke… supaya pelajar rasa selamat untuk bercakap,” katanya.
Adira turut berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara adil dan telus terhadap kes ini, demi keadilan buat keluarga mangsa.
“Saya doakan sangat agar keluarga Zara dapat keadilan yang sepatutnya. Tak sanggup rasanya nak tengok kejadian macam ni berlaku lagi," katanya.
Kes kematian pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Papar itu terus menjadi perhatian ramai selepas mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 17 Julai lepas.
Pelbagai spekulasi mula timbul selepas ibu mangsa, Noraidah Lamat, yang juga seorang guru, mendakwa anak tunggalnya itu berkemungkinan besar menjadi mangsa buli.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan siasatan sedang dijalankan secara telus dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram