
SEORANG lelaki berusia 61 tahun yang mengalami kecederaan parah selepas tertarik masuk ke dalam mesin MRI kerana memakai rantai besi disahkan meninggal dunia, lapor pihak polis pada Jumaat.
Jabatan Polis Daerah Nassau memaklumkan, insiden itu berlaku pada petang Rabu di sebuah pusat perubatan di Westbury, New York, Amerika Syarikat (AS).
Menurut kenyataan polis, anggota bertugas dikerahkan ke pusat Nassau Open MRI selepas menerima panggilan kecemasan 911 dan dimaklumkan bahawa mangsa terbabit memasuki bilik Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) tanpa kebenaran semasa imbasan sedang dijalankan.
BACA LAGI: Tahu sikap sebenar lepas kahwin, kaunseling bantu pasangan tangani krisis rumah tangga — Polis
BACA LAGI: Fisioterapi materniti bantu ibu hamil mudah bersalin, senaman ringkas seawal trimester kedua
“Ketika itu, mangsa sedang memakai rantai logam besar di leher, menyebabkan dia tertarik kuat ke arah mesin dan mengalami serangan perubatan,” kata polis.
Identiti mangsa belum didedahkan, namun beliau dibawa ke hospital berdekatan dalam keadaan kritikal.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada petang Khamis akibat kecederaannya. Siasatan kini masih dijalankan.
Mesin MRI menggunakan medan magnet yang sangat kuat untuk menghasilkan imej terperinci dalam badan.
Justeru, pesakit biasanya dinasihatkan supaya menanggalkan barang kemas atau sebarang objek logam sebelum menjalani imbasan.
Nassau Open MRI yang mempunyai beberapa cawangan menawarkan perkhidmatan imbasan jenis open dan closed.
Pusat MRI berkenaan bagaimanapun tidak dapat dihubungi oleh agensi untuk memberikan komen.
Syarikat terlibat juga enggan mengulas kepada rakan saluran agensi di New York, stesen WABC. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram