'Duhai adik Zara, maafkan saya', bapa pelajar rasa bersalah kes berulang di Papar sebab tak mampu upah peguam


  • Massa
  • Selasa, 29 Jul 2025

Gambar sebelah kiri merupakan keadaan pelajar lelaki sekolah berkenaan yang didakwa menjadi mangsa buli pada 2023.

TRAGEDI menyayat hati menimpa pelajar perempuan iaitu Zara Qairina Mahathir, 13, yang disahkan meninggal dunia baru-baru ini akibat kejadian buli di sebuah sekolah agama di Sabah, membuka semula luka lama seorang ayah yang pernah melalui pengalaman hampir serupa.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Zakariah Bulkiah tampil di media sosial mendedahkan bahawa anak lelakinya juga pernah menjadi mangsa buli di sekolah berbeza pada tahun lalu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, lelaki berkenaan berkongsi tiga keping gambar anaknya yang dipenuhi kesan lebam serius di seluruh badan dipercayai akibat dipukul ketika berada di asrama. 

BACA LAGI: 'Pastikan mereka dimiskinkan', tiba masa keluarga Zara Qairina ikut saranan Syed Saddiq buat saman sivil

BACA LAGI: Kongsi kronologi kes Zara Qairana, individu rapat kes kematian pelajar di Papar harap siasatan telus

Berdasarkan hantaran berkenaan, Zakariah menunjukkan keadaan anaknya selepas menjadi mangsa buli di sekolah sekitar Jun 2023. 

Gambar kedua yang dikongsikan lelaki berkenaan menunjukkan mangsa telah dimasukkan ke hospital pada 24 Jun 2023 bagi menerima rawatan lanjut. 

Difahamkan kini, anak kepada lelaki berkenaan sudah tidak lagi bersekolah di institusi berkenaan dengan Zakariah juga pada awalnya mahu membuat saman sivil namun masalah kewangan menghalangnya. 

"Saya pernah cuba untuk saman semua pihak di Mahkamah Sivil sebagai pengajaran pada Julai 2023. Tapi apa boleh buat, tiada duit untuk upah peguam. 

"Akhirnya 17 Julai 2025, kes lebih menyayat hati terjadi di sekolah yang sama. Pergi buat selama-lamanya adik Zara Qairina Mahathir," tulis kapsyennya pada hantaran tiga foto keadaan anaknya itu. 

Lelaki itu turut menyuarakan sokongan terhadap cadangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggesa tindakan undang-undang menerusi saman sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Maaflah saya ini bukan ahli politikus. Tapi dalam isu yang baru terjadi di Sabah ni, saya sangat setuju dengan suara Ahli Parlimen ini. 

"Rasa bersalah pula saya. Andai kata saya dapat lawan saman sivil itu, mungkin situasi (nyawa pelajar sekaranb ) seumpama ini tidak akan berlaku di sana. Ya ALLAH, ampuni daku duhai adik Zara maafkan saya," luahnya pada hantaran berlainan. 

Kes itu mengundang perhatian ramai pihak yang menyeru agar siasatan menyeluruh dan telus dijalankan, selain menekankan keperluan untuk memperketatkan pemantauan terhadap pengurusan disiplin di sekolah-sekolah berasrama penuh.

Tangkap layar hantaran daripada Zakariah Bulkiah.

Dalam perkembangan terkini, polis meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian pelajar perempuan berkenaan, sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram