Mayat budak 6 tahun ditanam dalam belukar, polis rampas cangkul digunakan bapa


  • Kes
  • Selasa, 29 Jul 2025

Mangsa dikenali sebagai M. Tishant ditemui dalam belukar dekat Negeri Sembilan.

MINGGU lalu, seorang bapa membuat laporan polis mengenai anaknya hilang ketika ditinggalkan sebentar dalam kereta untuk membeli makanan.

Bagaimanapun, pada pagi Selasa, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu telah direman tujuh hari selepas polis menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, bapa kanak-kanak malang itu membuat laporan mengenai kehilangan anak lelakinya yang berusia enam tahun pukul 2.15 pagi pada Khamis lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Barang dapur bertaburan, ibu dan bayi 18 bulan maut lepas Honda Civic terbabas di Kerteh

BACA LAGI: [VIDEO] Umpan aiskrim, sarjan tentera direman 5 hari disyaki cabul budak perempuan di Melaka

Mangsa dikenali sebagai M.Tishant berusia enam tahun.

Katanya, berdasarkan laporan itu, bapa terbabit mendakwa anaknya hilang kira-kira pukul 6 petang di kawasan Bukit Indah pada Rabu.

"Pengadu mendakwa mangsa hilang semasa ditinggalkan seorang diri di dalam kereta yang diparkir di kawasan tersebut untuk membeli makanan.

“Tangkapan ke atas bapa kepada kanak-kanak yang hilang itu telah dibuat pada Khamis.

"Lelaki terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tempoh tujuh hari sehingga 31 Julai,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut terhadap suspek telah membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di kawasan Rompin, Negeri Sembilan pada Isnin.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif dadah," katanya.

Kumarasan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya," katanya. 

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkongsi pihaknya merampas sebilah cangkul yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menanam mayat anak lelakinya itu. 

“Suspek dipercayai menggunakan cangkul tersebut untuk menggali lubang bagi menanam mangsa.

“Namun begitu, siasatan masih dijalankan,” katanya. 

Norhisham berkata, suspek masih berada dalam tahanan polis Johor dan direman sehingga 31 Julai.

“Kami akan menyoal siasat suspek dengan lebih lanjut selepas dia dibawa pulang ke sini,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram