
PERHIMPUNAN Turun Anwar yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu berjalan dengan lancar tanpa berlakunya insiden tidak diingini melibatkan para peserta.
Walaupun dalam keadaan hujan renyai, ia tidak menghalang semangat para peserta perhimpunan untuk terus berada di Dataran Merdeka sehingga tamat acara.
Acara yang bermula sekitar 2 petang, berakhir pada 5.16 petang selepas ucapan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
BACA LAGI: Perhimpunan Turun Anwar: Polis KL lencong 16 jalan di ibu negara
Usai tamatnya ucapan daripada Dr Mahathir, acara diakhiri dengan bacaan doa serta nyanyian lagu Negaraku oleh para peserta perhimpunan.
Perhimpunan Turun Anwar dimulakan dengan ucapan oleh Peguam Haniff Khatri Abdulla, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, bekas Ketua Penerangan Umno Isham Jalil dan bekas menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim.
Ia disusuli oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Wanita Perikatan Nasional Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau dan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Dr Mahathir menjadi dua tokoh terakhir yang memberikan ucapan kepada para peserta.
Perhimpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur menyaksikan para peserta berkumpul di lima lokasi iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru, dan Pusat Beli-Belah Sogo sebelum ke Dataran Merdeka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram