[VIDEO] Barang dapur bertaburan, ibu dan bayi 18 bulan maut lepas Honda Civic terbabas di Kerteh


  • Kes
  • Ahad, 27 Jul 2025

Kereta dinaiki kesemua mangsa itu dipercayai berada dalam perjalanan dari Dungun ke Felda Kerteh 4.

SEORANG wanita 25 tahun serta anaknya yang berusia 18 bulan maut sementara empat ahli keluarga lain cedera selepas Honda Civic dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kerteh, Terengganu pada Ahad.

Ketua Polis Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, Nur Suhailla Azman maut di lokasi kemalangan manakala anaknya, Nur Air Humaira Mohamad Sharool meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Jelasnya, suami kepada wanita itu, Mohamad Sharool Nizam Hamzah serta anak perempuannya yang berusia tiga tahun, Nur Aisya Humaira mengalami kecederaan ringan.

BACA LAGI: Awalnya janji nak jaga, wanita ditinggalkan teman lelaki lepas 3 bulan lumpuh akibat kemalangan

BACA LAGI: Bekas kiper negara terlibat kemalangan, kini stabil di PPUM

"Dua lagi mangsa, iaitu Timah Mohamad yang merupakan ibu kepada Mohamad Sharool serta anaknya, Ruzaimi Abd Rashid berusia 48 tahun mengalami kecederaan serius.

"Difahamkan, kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Dungun ke Felda Kerteh 4 ketika insiden itu berlaku," katanya.

Kesemua mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Dungun sementara mayat dua beranak itu sudah dibawa ke unit forensik hospital bagi proses bedah siasat.

Terdahulu, dalam sebuah video tular di media sosial, kelihatan sebuah Honda Civic berwarna biru cair terbalik dipercayai selepas terlibat dalam kemalangan.

Rakaman tersebut turut memaparkan beberapa barangan rumah seperti tin susu dan sabun basuh bertaburan di lokasi kejadian sebelum lori tarik tiba bagi membawa keluar kereta itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram