
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah untuk menjalankan siasatan segera terhadap kes buli membabitkan seorang murid di negeri itu yang didakwa berlaku pada 2023.
Pada masa sama, menterinya, Fadhlina Sidek, menyarankan waris murid berkenaan untuk melaporkan perkara itu kepada JPN Sabah serta polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.
"Tular hantaran di media sosial berkenaan kes buli membabitkan murid di sebuah sekolah di Sabah. Kes ini dikatakan terjadi pada 2023.
BACA LAGI: Kongsi kronologi kes Zara Qairana, individu rapat kes kematian pelajar di Papar harap siasatan telus
"Saya telah minta pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk segera menyiasat perkara ini.
"Pada waktu sama, saya menyeru ibu bapa atau penjaga murid terlibat untuk tampil membuat laporan kepada JPN Sabah atau pihak polis supaya ia boleh disiasat dan diambil tindakan," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menegaskan pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan gejala buli sambil menuntut ia perlu dibanteras di semua peringkat.
"Kementerian Pendidikan tidak berkompromi dengan salah laku buli. Ia perlu dibanteras di semua peringkat," tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar memaparkan seorang murid lelaki yang didakwa dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah mengalami kecederaan akibat dibuli.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada 24 Jun 2023.
Berdasarkan gambar yang tersebar, murid terbabit dilihat mengalami kecederaan pada bahagian muka, mata, kepala dan kaki.
Turut tular ialah gambar yang menunjukkan mangsa terlantar di atas katil hospital dengan balutan di kepala. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram