[VIDEO] Lepas hadiahkan penalti, bekas bek Pahang macam sengaja pijak kepala lawan dalam aksi liga amatur


  • Podium
  • Selasa, 29 Jul 2025

Tangkap layar menunjukkan detik-detik bek Pahang berkenaan menendang kepala salah seorang pemain lawan.

 

 

AKSI ganas seorang pemain bola sepak tular di media sosial selepas dia dirakam menendang kepala pemain lawan dalam satu insiden ketika perlawanan saingan Liga Super Vigor JBFA 2025 yang berlangsung di Padang Kastam MBPG 1, Johor pada Ahad (27 Julai).

Video yang dimuat naik di laman TikTok itu memaparkan tindakan agresif seorang pemain yang merupakan bekas pertahanan Pahang, Mohd Saifulnizam Miswan atau lebih dikenali sebagai Poyeng yang kini mewakili pasukan JMF FC ketika pertembungan menentang MBPG FC.

Menerusi rakaman tersebut, pemain terbabit dilihat menendang ke arah kepala seorang pemain lawan dalam keadaan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Tindakan agresif itu difahamkan berlaku selepas Mohd Saifulnizam dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan MBPG FC, susulan kekasaran yang dilakukannya di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, sepakan penalti berkenaan gagal disempurnakan dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Untuk rekod, Mohd Saifulnizam pernah menjadi tonggak pertahanan utama Pahang serta membantu skuad Tok Gajah menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 2013 dan 2014, serta Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2014.

Namun, kariernya juga pernah diwarnai insiden kontroversi, termasuk dilayangkan kad merah pada final Piala Malaysia 2014 selepas dilihat menumbuk perut Amri Yahyah.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak penganjur berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram