
KEJADIAN tragik melibatkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh di Sabah terus mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya mengenai tahap keselamatan pelajar di institusi pendidikan.
Zara, 13, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada awal pagi 17 Julai lalu dengan didakwa turut dikaitkan dengan insiden buli dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan.
Dakwaan itu selari dengan pendedahan oleh salah seorang warisnya yang menggunakan nama akaun Facebook, Syira Leizel Janice Abdullah membuka pelbagai kejanggalan berhubung kejadian sebenar yang membawa kepada kematian remaja tersebut.
BACA LAGI: Tragedi Zara Qairina, ibu dakwa anak dibuli, KPM beri jaminan siasatan menyeluruh
Dalam catatan panjang di media sosial, individu yang mempunyai pertalian dengan mangsa itu menyuarakan kekecewaan terhadap cara pihak sekolah dan pihak penyiasat mengendalikan insiden yang disifatkannya tidak telus dan penuh keraguan.
Zara baru sahaja mendaftar di sekolah tersebut pada Februari lalu. Menurut ibunya, sejak awal lagi anaknya sering mengadu berdepan tekanan, kehilangan wang saku, dibuli serta diugut oleh pelajar senior.
Sehari sebelum kejadian, Zara dikatakan berada dalam keadaan tertekan selepas dimaklumkan akan dipanggil oleh seorang pelajar senior bernama ‘Kak Wana’, yang didakwa kerap kali terlibat dalam episod buli.
Berdasarkan perkongsian berkenaan, keluarga percaya tekanan demi tekanan yang dialami Zara selama lima bulan itu akhirnya membawa kepada tragedi malang tersebut.
“Menurut maklumat daripada pelajar yang berada di sana dan pemerhatian keluarga: Zara jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan, ke kawasan berhampiran tepi laluan longkang berlantai konkrit
“Ketika dijumpai, tubuhnya dalam keadaan: Kepala terkulai dalam longkang Kaki kanan terjulur lurus, manakala kaki kiri terlipat pelik. Tangan terlentang, muka menghadap ke depan dalam keadaan terlentang.
“Tiada darah kelihatan di kepala atau badan hanya darah di tapak kaki kiri yang luka terbelah. Namun, kecederaan dalaman sangat teruk, kepala lembut, otak tidak berfungsi, tengkuk seperti patah, kaki terbalik, dan organ dalaman gagal.
“Tiada kamera CCTV yang disahkan di lokasi jatuh. Jika benar dia jatuh sendiri dari tempat tinggi, bagaimana mungkin mukanya langsung tiada luka, sedangkan tubuh dalam keadaan dalaman yang parah?
“Ini menimbulkan persoalan penting yang masih belum dijawab oleh pihak sekolah dan penyiasat..rujuk gambar dibawah..lokasi arwah jatuh,” kongsi hantaran berkenaan.
Apabila keluarga tiba di hospital, mereka mendapati Zara sudah tidak sedarkan diri, dengan doktor mengesahkan otaknya tidak lagi berfungsi akibat hentakan kuat pada kepala dan tulang tengkuk yang patah.
Ibu arwah juga mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang pada awalnya seolah-olah cuba menghalang waris daripada membuat laporan polis sendiri, dengan alasan pihak sekolah sudah melaporkan kejadian tersebut.
Kematian Zara (kiri) dikaitkan dengan insiden buli.
“Semasa di hospital, pengetua sekolah telah memujuk ibu kandung Zara agar tidak membuat laporan polis, dengan alasan: ‘Tak perlu puan buat laporan. Sekolah dah buat’.
“Ibu masih dalam keadaan trauma, tidak stabil emosi, dan pengetua mengambil kesempatan situasi itu untuk menekan ibu secara halus. Namun begitu, selepas waris kedua tiba dari Kuala Lumpur pada hari yang sama (Khamis), waris akhirnya mengambil keputusan untuk buat laporan polis pertama secara rasmi.
“Beberapa guru sekolah dan pegawai JPN hadir ke hospital, tapi semuanya diam. Apabila kami tanya apa yang berlaku, seorang guru berkata ‘kami guru sesi pagi, kami tiada di tempat kejadian.
“Namun, warden yang hubungi ibu memang berada di asrama waktu kejadian itu ada bersamaa dalam wad melawat.tetapi memilih berdiam diri apabila saya bertanya. Kebanyakan guru-guru yang datang melawat lebih kpd mengambil gambar arwah terbaring di katil berbanding untuk menenangkan waris.
“Apabila kami desak jawapan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang kbetulan dtg melawat ke hospital , beliau sendiri menjawab ‘Saya yang arahkan pihak sekolah supaya tidak beri sebarang maklumat kepada waris kerana kes masih dalam siasatan,” jelasnya.
Lokasi Zara didakwa jatuh dari dari tingkat tiga bangunan asrama.
Zara meninggal dunia sekitar pukul 5.20 petang pada hari kejadian (17 Julai lalu), selepas doktor mengesahkan tiada lagi denyutan otak.
Pemergiannya yang tragik bukan sahaja merobek hati sebuah keluarga, tetapi turut membuka perbincangan luas dalam kalangan masyarakat mengenai budaya buli, tekanan dalam sistem berasrama, serta sejauh mana anak-anak dilindungi dalam persekitaran pendidikan yang sepatutnya selamat.
Keluarga kini mendesak agar siasatan penuh dan forensik dijalankan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram