
SEORANG pelajar perempuan tingkatan satu dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabah.
Ini sekali gus mencetuskan persoalan berhubung dakwaan insiden buli yang dikatakan menjadi punca utama kejadian tragik itu.
Mangsa, Zara Qairina, difahamkan mengalami tekanan perasaan akibat dibuli, menurut kenyataan awal yang dikongsi ahli keluarga di media sosial.
BACA LAGI: Masih belum pulih 'long covid', probiotik potensi jadi ikhtirar alternatif
BACA LAGI: Setahun lepas bercerai, pempengaruh Salama umum bertunang, gambar cincin berlian jadi perhatian
Ibu mangsa mempersoalkan naratif awal bahawa kejadian itu hanyalah insiden terjatuh biasa dan menggesa agar perkara sebenar didedahkan demi keadilan buat anaknya.
Berikutan kejadian tersebut, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis.
"Takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian anakanda Zara Qairina. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.
"Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarga di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah menyalurkan bantuan segera termasuk aspek sokongan psikososial kepada keluarga mangsa.
"Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan. Saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh menggangu siasatan.
"Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut," tegas Fadhlina.
Turut menyuarakan pandangan ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku sekiranya terbukti wujud unsur buli dalam kes berkenaan.
"Sedih pagi-pagi baca berita mangsa buli bunuh diri di sebuah sekolah di Sabah.
"Kena ambil tindakan tegas terhadap pembuli. Semua pihak wajib ambil peduli isu buli dan tangani secara holistik,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial.
Tanda-tanda anak mungkin dibuli
Susulan kejadian itu, beberapa pihak termasuk aktivis dan pakar psikologi kanak-kanak menyenaraikan tanda-tanda awal yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa atau penjaga untuk mengesan sama ada anak mereka menjadi mangsa buli.
Antaranya ialah:
- Enggan ke sekolah secara tiba-tiba
- Prestasi pelajaran merosot
- Kecederaan fizikal yang tidak dapat dijelaskan
- Kehilangan barang sekolah secara kerap
- Perubahan emosi mendadak seperti kemurungan atau cepat marah
- Gangguan tidur atau mimpi buruk
- Perubahan mendadak dalam selera makan
- Kata-kata yang mencerminkan rendah diri
- Mengasingkan diri daripada rakan-rakan
- Aduan sakit kepala atau perut tanpa sebab perubatan jelas
Lima langkah penting untuk ibu bapa
Bagi menangani kes buli secara berkesan, pakar mencadangkan agar ibu bapa mengambil tindakan segera dengan:
1. Membina komunikasi terbuka dengan anak
2. Merekod dan mendokumentasikan setiap insiden
3. Melaporkan kepada pihak sekolah
4. Mengajar anak cara menangani pembuli dengan bijak
5. Mendapatkan sokongan emosi atau kaunseling profesional jika perlu
Isu sistemik perlu ditangani
Tragedi seperti itu menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan pelajar dan keberkesanan dasar anti-buli di institusi pendidikan.
Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk garis panduan, dasar dan kempen, kejadian itu menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada masih belum mencukupi.
Pemerhati menegaskan bahawa buli bukan sekadar isu disiplin, sebaliknya adalah masalah psikososial yang memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa, pihak berkuasa dan masyarakat.
Mangsa buli bukan sahaja mengalami luka fizikal, malah turut menanggung beban emosi yang boleh membawa kepada kesan jangka panjang, termasuk kemurungan dan kecenderungan membunuh diri.
Siasatan berhubung kes itu masih berjalan, masyarakat digesa agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses undang-undang serta menghormati privasi keluarga mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram