
POLIS sudah mengambil keterangan dua pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di sebuah perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah sehingga menyebabkan seorang pelajar maut.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
BACA LAGI: Penuntut UUM maut dihimpit bas rupa-rupanya anak sulung, harapan keluarga Felda Chempaka Labis
"Pemandu bas di hadapan berusia 37 tahun telah diambil keterangan semalam, manakala seorang lagi pemandu, 32, yang disyaki menyebabkan kemalangan ditahan kira-kira pukul 4.30 petang Ahad.
"Dia dibebaskan selepas memberikan keterangan dan keputusan ujian air kencingnya negatif.
"Lelaki itu juga memberi kerjasama yang baik dan menceritakan bahawa dia tidak menyedari bas di hadapannya berhenti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, punca kematian pelajar UUM, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, disebabkan kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.
"Kematian berpunca daripada cardiac contusion due to vehicular impact yang bermaksud kecederaan lebam pada jantung akibat hentakan kenderaan.
"Cardiac contusion ialah kecederaan pada otot jantung yang disebabkan hentakan kuat, lazimnya akibat trauma dada tumpul seperti kemalangan jalan raya.
"Vehicular impact pula merujuk kepada pelanggaran atau hentakan melibatkan kenderaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram