
DALAM dunia gubahan bunga, susun letak flora bukan sekadar cantik di mata namun setiap satu jenis daripadanya mempunyai ‘pantang’ tersendiri.
Baik ros, tulip, carnation hinggalah lily, semua bunga-bunga itu memerlukan penjagaan tertentu bagi memastikan gubahan yang dihasilkan bukan sahaja cantik serta harum memekar, bahkan tahan lama.
Itulah antara sedikit tip yang dikongsi oleh Farah Amiera Iskandar, 30, yang sudah lima tahun mengukir nama dalam bidang seni gubahan bunga tempatan.
BACA LAGI: Contohi Khairul Aming, bekas jurutera fokus satu produk, tak sangka jualan lebih 11 juta 'nappy bag'
BACA LAGI: Lali gaduh 'Tom & Jerry', 3 beradik jelita, rakan baik tepis cabaran bina jenama minyak wangi DAFT
"Kalau bunga chrysanthemum tak banyak masalah untuk handle sebab sifatnya agak lasak tapi jenis yang sangat delicate kena betul-betul jaga.
"Contohnya seperti delphinium yang bentuk bunganya macam rama-rama. Ia boleh menaikkan seri gubahan cuma jangka hayatnya sangat pendek, tak boleh kena cahaya matahari sangat dan perlu keadaan sejuk.
"Begitu juga dengan bunga tulip kerana cepat layu namun jika pelanggan insist, saya akan beri nasihat dan tip penjagaan supaya ia tahan lama," katanya kepada Majoriti.
Ibu kepada dua anak yang mesra disapa Mia itu berkata, bunga lily, chrysanthemum dan carnation antara yang tahan lama sehingga 24 jam serta sesuai dijadikan bunga tangan pengantin.
"Lily tak perlukan banyak air tapi mawar dan tulip pula kena banyak air, jadi terpulang kepada cita rasa pengantin nak jambangan mana satu cuma saya nasihatkan jangan mix dua bunga ini bersama.
"Setiap gubahan pula mengambil masa antara 30 minit hingga sejam untuk disiapkan, bergantung kepada saiz dan kerumitan jambangan," ujarnya.
Mia tidak lokek berkongsi ilmu dan selalu mengadakan woksyop serta kelas gubahan bunga peribadi.
Mengusahakan jenama Be.Mekhar, anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Puncak Alam itu berkata, bisnes gubahan bunga bermula ketika pandemik melanda negara pada 2020.
Dia terfikir untuk membuat gubahan bunga sebagai hadiah pengganti diri apabila ramai tidak dapat menziarahi keluarga, rakan-rakan dan sanak saudara secara fizikal.
"Masa itu saya buat suka-suka untuk hadiahkan kepada keluarga dan kawan-kawan tapi tak sangka ada dapat permintaan tinggi dengan nilai jualan mencecah RM10,000," kongsinya.
Pernah berkhidmat sebagai akauntan, dia tekad meninggalkan kerjaya korporat yang diceburi selama tiga tahun untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada bisnes gubahan bunga pada Mac 2021.
"Waktu itu saya mengandungkan anak pertama, apabila bisnes semakin okey, saya pun ambil keputusan berhenti kerja sebab mahu ada masa dengan anak-anak," katanya lagi.
Dengan modal hanya ratusan ringgit, graduan jurusan Kewangan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu bergerak solo membangunkan bisnesnya.
Mia menunjukkan gubahan bunga yang dijadikan hiasan 'centrepiece'.
Pengalaman mengikuti bengkel gubahan bunga sebelum ini memberikan nilai tambah untuk terus pergi lebih jauh dengan membuat produk seperti jambangan bunga tangan pengantin, cenderahati korporat dan table centrepiece.
"Saya menggunakan bunga-bunga segar yang diimport atau bunga tiruan gred premium mengikut permintaan pelanggan.
"Kalau bunga import lebih tahan lama hingga lapan jam berbanding bunga Cameron Highlands (tiga ke empat jam) dan kelopaknya juga lebih besar menjadikan jambangan nampak lebih cantik," katanya.
Mia yang mendapat sokongan penuh daripada suami berkata, seperti perniagaan lain, dia juga menghadapi cabaran tertentu.
Antaranya, kongsi Mia termasuklah corak permintaan mengikut musim.
"Kalau musim kahwin dan special occasion macam Hari Valentine dan Hari Ibu memang dapat banyak tempahan. Cuma harga bunga boleh naik berlipat kali ganda, jadi pelanggan pun kena faham situasi.
"Ada juga bunga yang seasonal seperti peony yang harganya boleh mencecah RM20 sekuntum," tuturnya.
Selain itu, Mia turut mempelbagai strategi bisnes dengan membuat woksyop bagi berkongsi pengetahuan kepada orang ramai yang memiliki minat sama.
"Apabila tempahan tak banyak, saya isi masa dengan menganjurkan bengkel dan kelas hobi, jadi sekurang-kurangnya dapat manfaatkan masa sambil kongsi ilmu dengan orang lain," ujarnya.
Harga gubahan bunga Be. Mekhar bermula dari RM70 dan boleh mencecah RM1,000 mengikut saiz jambangan dan jenis bunga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram