Kalau berat nak sedekah RM100 sampai fikir dua tiga kali, besarlah nilainya – Dr Kamilin Jamilin


  • Massa
  • Khamis, 24 Jul 2025

Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 oleh kerajaan.

PEMBERIAN bantuan tunai RM100 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi bualan ramai. Ramai warganet mendakwa jumlah itu terlalu kecil dan tidak membantu rakyat dalam situasi ekonomi sekarang.

Pada Rabu, Anwar mengumumkan bantuan RM100 kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas sebagai salah satu daripada penghargaan diberikan selain penurunan harga minyak RON95 serta cuti tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September.

Namun, pendakwah terkenal, Dr Kamilin Jamilin tampil memberi pandangan berbeza yang menyentuh hati ramai di media sosialnya.

BACA LAGI: Jangan remehkan RM100, kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan — PM Anwar

BACA LAGI: SARA untuk semua, rakyat 18 tahun ke atas terima RM100

“Kalau nak tahu RM100 tu besar atau tidak, cuba niatkan sedekah. Kalau terasa berat nak bagi, fikir dua, tiga kali, besarlah tu nilainya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Kenyataan itu seakan 'menembak' sebahagian pihak yang mudah meremehkan nilai sesuatu bantuan, tetapi mungkin sendiri berat untuk menghulurkan jumlah yang sama sebagai sedekah.

Ramai bersetuju dengan pandangan Dr Kamilin dan menyifatkannya sebagai teguran penuh makna yang mengajak rakyat lebih bersyukur.

"Orang yang tidak pernah rasa bantuan bagi mereka nilai RM100 tu besar. Yang selalu dapat bantuan bagi mereka RM100 tu kecil saja," kata Nur Arlin.

"Diri sendiri pun tak cukup makan macam mana nak sedekahkan dekat orang RM100? Bagi orang miskin RM10 pun terasa besar," ujar Mawar Razali pula.

"Ha ha, RM5 pun berat kalau dah kedekut," komen Che Din. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram