
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh nilai bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, namun ia amat bermakna buat rakyat di luar bandar serta golongan berpendapatan rendah.
“(Semua kritik) RM100 saja, (tapi) kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan. (Memang) RM100 itu tak ada apa, tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung (ada manfaatnya),” kata Anwar ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, pada Khamis.
BACA LAGI: SARA untuk semua, rakyat 18 tahun ke atas terima RM100
BACA LAGI: Penghargaan buat rakyat yang dijanjikan akan diumum pagi Rabu — PM Anwar
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400 dan jika ditambah dengan Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada, jumlahnya boleh meningkat hingga RM700.
“…jadi jangan remehkan usaha kerana itu upaya kita (kerajaan) untuk tambah peruntukan sedia ada, daripada RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” kata Anwar.
Pada Rabu, Anwar mengumumkan pemberian RM100 kepada setiap individu di atas usia 18 tahun secara one-off melalui kad pengenalan (MyKad) di bawah program SARA sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.
Beliau berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama sserta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Tambah beliau, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
Sebelum ini, kerajaan memperluas dan menambah kategori barangan boleh dibeli menerusi bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula 1 Mei lalu.
Anwar berkata, perluasan kategori barangan itu melibatkan produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci pakaian, pinggan mangkuk dan lantai, menjadikan kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram