Mampu raih pendapatan 5 angka, mural dan doodle buka pintu rezeki buat graduan kejuruteraan pesawat asal Terengganu


  • Bisnes
  • Isnin, 14 Jul 2025

Nasuha memperoleh pendapatan selesa yang kadang-kadang boleh mencecah lima angka sebulan.

SEMASA pandemik Covid-19, graduan kejuruteraan pesawat, Nasuha Ibrahim, menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan.

Tanpa disangka, minat terhadap seni membantu dalam kehidupan harian apabila lelaki berusia 30 tahun itu berupaya menjana pendapatan melalui mural dan doodle.

“Ada seorang kawan tahu pada waktu itu, saya sedang cari kerja dan pada masa sama, dia juga tahu saya suka seni.

"Dia menawarkan kerja melukis mural di sebuah kafe di Putrajaya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia menjadi mural pertama saya," kata Nasuha.

BACA LAGI: Batik 'revival' Nu Bellaas, digitalisasi warisan cara wanita KL pikat gaya generasi muda

BACA LAGI: Akui sukar cari kerja, graduan seni reka grafik tak kisah jual keutiau goreng, biskut ais jem mini

 

 

Ceritanya lagi, dia memuat naik gambar mural itu di Instagram dan tanpa disangka, karya tersebut mendapat perhatian orang ramai.

"Tak lama kemudian, lebih banyak tempahan masuk. Dari permulaan kecil itu, semuanya berkembang dengan cepat.

"Kini, saya mampu menyara hidup sepenuhnya melalui seni mural dan doodle,” ujar Nasuha.

Dilahirkan dan dibesarkan di Marang, Terengganu, Nasuha yang kini menetap di Cyberjaya, Selangor, menggalakkan orang ramai untuk mengejar minat mereka tanpa mengira halangan yang perlu ditempuhi.

“Kalau anda suka seni, buatlah dengan penuh semangat. Jangan takut untuk minta bantuan atau nasihat.

"Orang ramai suka berkongsi maklumat dan akan menyokong anda," katanya.

Bagi Nasuha, kejayaan bukan datang sekelip mata sebaliknya memerlukan ketekunan tanpa henti dan usaha memperhalusi bakat hari demi hari.

Memperoleh pentauliahan sebagai jurutera pesawat, Nasuha bagaimanapun memilih kerja dalam bidang seni. —  Instagram

Nasuha mengakui ibunya, seorang suri rumah, adalah antara individu yang banyak menyokong perjalanan seninya.

“Ibu sentiasa menggalakkan saya mewarna dan melukis walaupun ketika itu hanya sekadar hobi,” ujarnya.

Imbau Nasuha, semasa zaman kanak-kanak, dia sering menghantar lukisan untuk pertandingan akhbar dan kempen jenama.

“Ibu akan beritahu yang saya menang, walaupun sebenarnya tidak.

"Kemudian saya sedar dia beli hadiah dan membalutnya sebagai pemberian sagu hati. Ia tidak mematahkan semangat tapi beri keyakinan untuk terus mencuba,” ujarnya sambil tersenyum.

Sewaktu sibuk mengikuti pengajian sebelum ini, Nasuha sudah berjinak-jinak dalam bidang seni secara sambilan.

Pada masa itu, dia mengikuti program kejuruteraan penyelenggaraan pesawat Malaysia Airlines selepas menamatkan diploma kejuruteraan aeronautik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

“Rakan sekelas banyak menyokong saya. Mereka suka melihat lukisan dan doodle yang dihasilkan.

"Mereka galakkan saya untuk teruskan. Di sebalik kesibukan mengikuti kuliah, saya ambil tempahan kecil seperti paper doodling dan buat doodle casing telefon untuk duit poket," ujarnya.

Aircraft engineer Nassuha who gave up his job to become mural artist . For Lifestyle cover story. — YAP CHEE HONG/The Star

Nasuha membina reputasi sebagai salah seorang artis mural dan doodle prolifik di negara ini. — YAP CHEE HONG/The Star

Bercerita lanjut, Nasuha berkata, berkat dorongan ibu secara berterusan, dia percaya mampu melakukan apa saja.

Kini, Nasuha memperoleh pendapatan yang selesa yang menurutnya, kadang-kadang boleh mencecah lima angka sebulan.

“Saya suka doodle sebab ia membolehkan saya luahkan kreativiti tanpa batasan," kata Nasuha.

Cerita Nasuha lagi, dia juga aktif menyertai pertandingan seni dan lukisan.

"Saya gunakan hadiah wang tunai hasil kemenangan untuk beli iPad Pro.

"Ia memudahkan saya melukis lebih kerap dan mencipta rekaan digital,” kata Nasuha, yang pernah memenangi pertandingan seni tempatan anjuran jenama seperti Vans, Starbucks, Samsung, Golden Screen Cinemas dan Faber-Castell.

Nasuha berkata, antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah cuaca, terutama apabila bekerja di luar. — YAP CHEE HONG/The Star

Lima tahun kebelakangan ini, Nasuha membina reputasi sebagai salah seorang artis mural dan doodle prolifik di Malaysia.

Dia pernah bekerjasama dengan lebih 200 pelanggan, melukis mural untuk kafe, pejabat dan bangunan.

Tanpa latihan formal, Nasuha belajar melukis dan membuat mural sendiri.

“Segala-galanya bermula dari bawah, saya banyak berlatih dan belajar sambil mencuba.

"Mural pertama saya kecil sahaja, tapi dari situ saya belajar satu persatu langkah dan tekniknya.

“Saya mulakan dengan membuat lakaran digital menggunakan aplikasi, kemudian lukis garis kasar pada dinding dengan kapur untuk dapatkan saiz tepat. Dari situ, saya tambah lapisan warna sehingga karya tersebut 'hidup',” jelasnya.

Nasuha berkata, antara karya yang dihasilkan termasuk reka doodle untuk cawan kopi, sarung telefon dan bekas ayam goreng bagi sebuah jenama makanan segera.

“Pada mulanya, saya tak sangka karya in akan mendapat perhatian ramai. Saya hanya buat suka-suka namun semua menjadi serius apabila ia semakin mendapat sambutan di media sosial.

“Melukis setiap hari memberi kepuasan sebenar kepada saya,” kata Nasuha.

 

 

Salah satu mural terbesar dan menjadi kebanggaan Nasuha ialah mural berukuran 13m x 9.14m di Ipoh yang menampilkan lakaran seorang Wanita menikmati secawan kopi dalam potret gaya Oriental.

Mural Nasuha yang penuh warna-warni menarik perhatian ramai di seluruh negara, dan salah satu karya terkininya yang paling hangat diperkatakan terletak berhampiran Pasar Seni di Kuala Lumpur.

Karya patriotik itu menampilkan Jalur Gemilang bersama lambang negara seperti wau tradisional dan bunga kebangsaan iaitu bunga raya.

Walaupun muralnya ceria dan berwarna-warni, Nasuha mengakui kerja itu mencabar.

“Salah satu cabaran terbesar ialah kekeringan idea. Apabila itu berlaku, saya berjalan-jalan di tepi tasik, pantai, sawah padi atau kampung.

"Momen itu bantu saya mendapat ilham untuk diterjemah ke dalam rekaan digital atau mural,” katanya.

Melukis setiap hari adalah pengalaman unik yang memberi kepuasan sebenar kepada Nasuha. — Instagram

Cabaran lain yang perlu ditempuhi ialah cuaca, terutama apabila bekerja di luar.

"Ada mural yang mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan kerana hujan berterusan selama sebulan. Waktu itu, ada bahagian yang tidak kering dengan sempurna, jadi saya terpaksa buat balik semula," katanya.

Selain itu, keselamatan ketika bekerja di atas perancah juga perlu diberi perhatian, terutamanya semasa musim hujan yang boleh membuat permukaan menjadi licin.

Walaupun tempoh menyiapkan satu mural boleh mengambil masa sehingga 10 hari kerana bekerja sendirian, Nasuha berasa puas dan gembira dengan kerjayanya.

“Saya jana pendapatan lebih daripada yang pernah saya bayangkan, tapi yang paling penting adalah kebahagiaan di sebalik kerjaya ini.

“Melukis setiap hari adalah pengalaman unik yang beri saya kepuasan sebenar.”

“Saya berharap dapat berkongsi karya seni dan memberi inspirasi kepada orang ramai supaya menghargai seni dalam ruang harian.

"Seni bukan hanya hiasan – ia cara untuk bercerita, menyedarkan dan menghubungkan orang,” ujar Nasuha. — The Star/ SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram