
DI sebuah bengkel kecil yang penuh dengan serpihan kayu, pahat dan bekas cat minyak, seorang lelaki membongkok di atas bangku kerjanya.
Dengan gerakan perlahan dan penuh fokus, Tan Chin Seng mengukir kepingan kayu cemara, sedikit demi sedikit, membentuk bahagian atas sebuah biola.
Bagi Tan, proses mentransformasi blok kayu menjadi alat muzik itu bukan sekadar kerja sebaliknya adalah satu bentuk seni.
BACA LAGI: Berguru dengan Iron Chef Jepun di AS, lelaki asal Cheras buka FujiYama jual sushi fusion halal
Tan berkata, dalam pembuatan biola ada kerja kayu, pertukangan halus dan seni reka bentuk yang menjadikannya cukup unik.
Selain biola, Tan, 45, yang merupakan tukang lut atau pembuat alat muzik bertali profesional pertama di Malaysia, juga mahir membuat gitar dan selo.
Dalam tempoh lebih sedekad, dia telah membina reputasi antarabangsa, memenangi pelbagai anugerah dan kini menjadi mentor kepada generasi baharu pembuat alat muzik di rantau ini.
Apa yang menjadikan kisah Tan agak luar biasa adalah latar belakangnya yang sebenarnya tidak pandai bermain alat muzik itu.
Merupakan graduan sains computer, Tan bermula ketika beliau membantu dalam perniagaan keluarga yang mengendalikan sebuah sekolah muzik.
Pada 2010, semasa mengikuti lawatan ke China untuk membaiki biola lama, Tan tertarik dengan dunia pembuatan biola.
Rasa ingin tahu membawa Tan menjadi anak murid kepada Han Zhao Sheng, seorang tukang lut dari China, yang menyaksikan beliau membuat biola pertamanya.
“Selepas itu, saya menyedari pertukangan alat muzik adalah bidang saya,” kata Tan.
Hujung biola dipotong secara teliti dan diukur dengan tangan.
Dalam pembuatan biola, Tan berkata, ada kerja kayu, pertukangan halus dan seni reka bentuk yang menjadikannya cukup unik.
"Mengubah kayu menjadi muzik adalah sesuatu yang mengagumkan," ujarnya.
Tan mengakui dia pernah buat kerja gila apabila sanggup berulang-alik ke Beijing untuk mendalami ilmu pembuatan biola.
Dia kemudian merantau ke Itali untuk berguru dengan pembuat alat muzik terkenal.
Pada peringkat awal, dia menghabiskan sehingga 16 jam sehari di bengkel, tekun membentuk setiap lengkungan dan kontur kayu.
Kini, Tan menghasilkan kira-kira 10 buah biola setahun di studionya di Deciso, yang terletak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Setiap instrumen diperbuat daripada kayu berbeza dengan kayu cemara untuk bahagian atas dan maple (bahagian belakang, sisi dan leher).
Katanya, kayu tersebut didatangkan dari Eropah dan didapati semasa pameran kayu tahunan di Shanghai, China.
"Kesemua kayu itu disimpan bertahun-tahun bagi memastikan mutu bunyi dan ketahanan agar tidak pecah atau retak," tuturnya.
Proses pembuatan biola memerlukan ketelitian yang sangat tinggi.
Plat kayu pada bahagian depan dan belakang dibentuk pada ketebalan yang sama untuk menghasilkan resonans. Badan alat muzik itu pula dibengkokkan dan dipasang manakala hujung biola diukur dengan tangan.
Cat minyak akan disapu secara nipis bagi tujuan perlindungan dan mempengaruhi tona bunyi. Langkah akhir pula melibatkan pemasangan tali instrumen.
Plat kayu pada depan dan belakang diperbuat daripada kayu cemara dan dibentuk pada ketebalan sama untuk menghasilkan resonans.
Pada awalnya, Tan berdepan cabaran apabila ada sebahagian pelanggan tempatan mempersoalkan nilai hasil buatan tangannya dengan biola kilang.
Namun, segalanya berubah apabila dia memenangi beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa.
Hari ini, dia menerima tempahan khas daripada pemain biola profesional dari dalam dan luar negara, termasuk dari Perancis, Jerman dan Hong Kong. Setiap biola dijual pada harga sekitar €12,000 (RM59,000).
Lebih membanggakan, perjalanan Tan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
Walaupun bidang itu amat mencabar dan kurang diketahui ramai, beberapa anak muda kini berani menceburkan diri.
Ini termasuk Chan Song Jie, tukang biola wanita pertama Malaysia.
Selain itu, terdapat dua lagi pembuat alat muzik bertali sepenuh masa di Malaysia yang merupakan anak didik Tan sendiri.
"Saya akui minat sahaja tidak cukup. Pasaran domestik ketika ini masih kecil," ujarnya menutup bicara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram