
SEORANG lelaki berusia dalam lingkungan 50-an meninggal dunia dalam keadaan rentung selepas sebuah unit di Flat Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur (KL) hangus dijilat api.
Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin pagi, mangsa ditemukan dalam bilik air kediamannya setelah bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran.
Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 2.54 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah buang sampah dalam sungai di Plentong, syarikat kena kompaun MBJB RM1,000
BACA LAGI: [VIDEO] Stesen Monorel Hang Tuah banyak 'alien', pengguna jalan raya mengadu dibaling objek
"Sebuah unit Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Water Tanker (WT) dan tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dengan jumlah kekuatan seramai 14 anggota dikerah ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 2.58 pagi, anggota bomba bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah unit rumah di tingkat 10 dengan keluasan 20 x 20 kaki persegi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, kebakaran menyebabkan kemusnahan seratus peratus melibatkan unit rumah berkenaan dengan operasi pemadaman dijalankan pihak bomba sebelum api dikawal sepenuhnya pada pukul 3.10 pagi.
"Kebakaran menyebabkan kemusnahan seratus peratus terhadap unit terlibat. Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram